Skip to main content

Malaysia

Pelantikan Zaiton sebagai Presiden ACCA wajar jadi inspirasi anak Malaysia - Anwar

Zaiton (gambar), yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC, dilantik sebagai Presiden ACCA, sekali gus menjadi individu Melayu pertama menerajui badan perakaunan profesional global itu. - Facebook Anwar
Zaiton (gambar), yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC, dilantik sebagai Presiden ACCA, sekali gus menjadi individu Melayu pertama menerajui badan perakaunan profesional global itu. - Facebook Anwar
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelantikan Datuk Zaiton Mohd Hassan sebagai Presiden Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) wajar dijadikan inspirasi dan pembakar semangat kepada lebih ramai anak Malaysia untuk melakar kejayaan di pentas antarabangsa.

Menzahirkan ucapan tahniah menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata pelantikan menerajui badan profesional perakaunan bertaraf global itu merupakan satu pengiktirafan terhadap kepimpinan, pengalaman luas dan sumbangan Zaiton dalam bidang kewangan serta profesion perakaunan.

Beliau berkata ini termasuk usaha memperluas akses dan peluang kepada golongan muda untuk menceburi bidang berkenaan.

Advertisement

“Kepimpinan beliau juga diharap dapat terus memperkukuh standard profesionalisme, memperluas peluang pembangunan bakat serta mempersiapkan profesion perakaunan menghadapi landskap ekonomi dan teknologi yang semakin berkembang,” katanya.

Zaiton yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) dilantik sebagai Presiden ACCA, sekali gus menjadi individu Melayu pertama menerajui badan perakaunan profesional global itu.

Advertisement

ACCA mewakili lebih 266,000 ahli dan 546,000 bakal ahli di 179 negara.

Zaiton dipilih menganggotai Majlis ACCA pada 2016 sebelum memegang jawatan Naib Presiden dan Timbalan Presiden. Sepanjang penglibatannya, beliau bekerjasama dengan ahli ACCA di rantau Asia Pasifik dan peringkat global.

Pengalaman profesional beliau bermula di PricewaterhouseCoopers (PwC), selain terbabit dalam penubuhan sebuah agensi penarafan kredit nasional.

Beliau juga ialah Pengerusi GX Bank serta memegang beberapa jawatan lembaga pengarah dan peranan penasihat dalam tadbir urus serta pembangunan profesional.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement