Peminjam Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di enam universiti awam akan mendapat bayaran pinjaman mereka mulai 24 Feb ini.

PTPTN dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata enam universiti berkenaan ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknikal Malaysia (UTEM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

"PTPTN telah menerima pengesahan status pengajian daripada enam universiti awam itu dalam tempoh 1 hingga 7 Feb dan pelajar universiti awam berkenaan akan menerima bayaran mulai 24 Feb 2017," kata kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, bayaran lima lagi universiti awam iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Space, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) tidak akan diproses sehingga perbadanan itu menerima pengesahan status pengajian pelajar universiti awam berkenaan berdasarkan jadual yang ditetapkan.

"Sekiranya universiti awam terlibat dapat mengemukakan pengesahan status pelajar sebelum atau pada 14 Feb, bayaran akan dikreditkan ke akaun pelajar mulai 24 Feb 2017.

"Manakala bagi pengesahan status pengajian pelajar yang diterima selepas 14 hingga 26 Feb, bayaran akan dikreditkan ke akaun pelajar mulai 7 Mac.

Pelajar universiti awam terlibat boleh menyemak tarikh penerimaan status pengajian pelajar dan tarikh bayaran terkini melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my. -- Bernama