NATIONAL
ERL puji tindakan pantas polis dalam kes kecurian kabel

ERL dalam kenyataan berkata kejadian yang berlaku pada 8 dan 9 April itu mengganggu perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit di sepanjang laluan ERL. - Gambar fail/Sinar Harian
PUTRAJAYA: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) memuji Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan pantas dan berkesan dalam menahan suspek yang terlibat dalam insiden kecurian kabel baru-baru ini sehingga menjejaskan perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit.
ERL dalam kenyataan berkata kejadian yang berlaku pada 8 dan 9 April itu mengganggu perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit di sepanjang laluan ERL.
"Hasil siasatan dan tindak balas pantas PDRM, suspek yang dipercayai bertanggungjawab (terhadap insiden itu) kini telah ditangkap," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ERL Noormah Mohd Noor memuji pihak berkuasa atas tindakan pantas dan profesionalisme mereka."Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PDRM atas tindakan cepat dan efektif mereka. Profesionalisme dan dedikasi mereka membantu menegakkan keadilan dan orang ramai boleh terus yakin dengan keselamatan perkhidmatan kami," katanya.
Susulan insiden itu, ERL mempertingkatkan langkah keselamatan di kawasan yang terjejas.
"Ini termasuk menempatkan kakitangan tambahan ke kawasan hotspot, meningkatkan kekerapan rondaan dan memperhebat pengawasan di sekitar infrastruktur kritikal.
"Selain itu, ERL turut menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik antara Putrajaya dan Stesen Cyberjaya - Stesen Salak Tinggi untuk kemudahan penumpang ketika kejadian," menurut kenyataan itu.
Sabtu lepas (12 April) Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata tiga lelaki tempatan ditahan kerana disyaki mencuri kabel perkhidmatan KLIA Express dan KLIA Transit ERL di sekitar Bandar Baru Salak Tinggi dan Dengkil.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami