KUALA LUMPUR: Estet padi berskala besar akan dibangunkan di Sabah dan Sarawak dalam usaha menjamin keselamatan  makanan negara selain membawa golongan petani keluar daripada status miskin tegar.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, estet itu akan dilaksanakan menerusi Felcra Berhad (Felcra) selain telah mendapat persetujuan dasar kerajaan Sabah dan Sarawak.

"Di Sabah telah dikenal pasti kawasan Kota Belud dan Kota Marudu serta Parlimen Sri Aman di Sarawak.

"Kedua-dua negeri ini insya-Allah akan dirundingkan agar tambahan pembukaan kira-kira 15,000 sehingga 20,000 hektar estet padi. Pembukaan estet padi ini tidak akan menghilangkan hak milik tanah kerajaan negeri dan individu.

"Kita lakukan sebagaimana yang telah berjaya dilaksanakan di Parlimen Pasir Salak iaitu estet padi Seberang Perak," kata ketika Sesi Penggulungan Kementerian di Dewan Rakyat pada Khamis.

Ahmad Zahid (BN-Bagan Datuk) berkata, beliau juga telah meminta agar jawatankuasa teknikal di peringkat kementerian dan negeri digerakkan sepenuhnya sejak Selasa lalu bagi memberikan input berhubung perkara berkenaan.