NATIONAL
EU akan pantau rapat Sidang Kemuncak ASEAN ke-46

Daerr menyifatkan visi yang bakal dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di ibu negara pada 26 dan 27 Mei ini sebagai "sangat penting" bagi EU. - FB European Union in Malaysia
KUALA LUMPUR: Visi Komuniti ASEAN 2045 akan menjadi panduan penting bagi hala tuju masa depan blok itu serta rujukan utama dalam memperdalam kerjasama antara Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN, kata Duta EU ke Malaysia, Rafael Daerr.
Beliau menyifatkan visi yang bakal dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di ibu negara pada 26 dan 27 Mei ini sebagai "sangat penting" bagi EU.
"Jadi, ia adalah sesuatu yang akan kami terima dengan penuh hormat sebagai prinsip panduan ASEAN dan pelan hala tujunya bagi tempoh 20 tahun akan datang. Kami kemudian akan menyelaraskan pelan kami di sampingnya dan berusaha mengenal pasti bidang kerjasama yang boleh diperkembangkan lagi," katanya kepada Bernama di Wisma Bernama, di sini, pada Khamis.
Beliau menambah EU akan memantau rapat Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, khususnya pelancaran Visi Komuniti ASEAN 2045.Menurut Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan, Visi Komuniti ASEAN 2045 merangkumi empat Pelan Strategik yang meliputi tonggak Politik-Keselamatan, Ekonomi, Sosio-Budaya dan Kesalinghubungan, yang akan menggariskan hala tuju strategik rantau itu bagi tempoh 20 tahun akan datang.
Visi itu mencerminkan aspirasi ASEAN untuk memacu rantau itu ke arah integrasi lebih besar dalam bidang politik, ekonomi dan sosial yang akhirnya menjadikan ASEAN sebagai model untuk dunia, kata Mohamad.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini akan menghimpunkan pemimpin dari 10 negara anggota blok itu bagi membincangkan isu serantau, memupuk kerjasama ekonomi dan memajukan prinsip keterangkuman serta kemampanan.
Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN dari Laos pada 1 Jan 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", yang mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu dan makmur.
Ini merupakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN, selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami