KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Eunice Wong membuktikan usia dan pengalaman adalah kekuatan apabila dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia (MUM) 2026 pada malam kemuncak pertandingan yang penuh gilang-gemilang di sini, malam tadi.
Wong, 37, mengetepikan saingan sengit 12 finalis lain untuk dipakaikan mahkota terbaharu ‘Star of the East’, sekali gus menggalas tanggungjawab besar membawa cabaran negara ke peringkat antarabangsa di Puerto Rico, bulan depan.
Sementara itu, ibu kepada tiga cahaya mata, Sapphire Wong yang mewakili Sarawak, diangkat sebagai naib juara, manakala Amreet Kaur dari Perak dan Emanuelle Mah (Bukit Jalil) masing-masing menduduki tempat ketiga serta keempat.
Pada sidang media selepas acara berprestij itu, Wong menzahirkan rasa syukur atas kejayaan berkenaan dan menganggap segala usaha gigih serta pengorbanannya sepanjang pertandingan tersebut terbayar.
Beliau turut mengambil kesempatan menitipkan kata-kata semangat buat golongan muda agar berani mengejar impian tanpa menjadikan latar belakang sebagai penghalang.
“Saya percaya walau di mana jua kita berada, sama ada menetap di luar negara ataupun berasal dari kawasan kecil, persekitaran itu bukannya penghalang untuk kita melangkah lebih jauh.
"Teruskan membina mimpi, berusaha dan bergerak ke depan kerana tuhan akan sentiasa membuka jalan,” katanya kepada Bernama.
Anak jati Johor itu turut menzahirkan rasa terharu atas sokongan padu rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan moral serta mesej galakan buat dirinya sepanjang pertandingan berlangsung.
Mengulas persiapan yang akan dilakukannya untuk ke Puerto Rico, beliau mahu membawa semangat 'Malaysia Boleh' ke pentas dunia dan berjanji untuk memberikan persembahan terbaik dan seterusnya membanggakan Malaysia di sana.
“Saya akan berusaha sedaya upaya untuk membawa kejayaan kembali ke tanah air,” katanya.
Pelakon aksi Sandra Lim sebelum ini melakar sejarah negara apabila menjadi wakil Malaysia pertama dalam tempoh 54 tahun melayakkan diri ke kelompok 30 terbaik daripada 125 peserta pada pertandingan Miss Universe 2024 di Mexico City, Mexico.
-- BERNAMA