Lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Kedah mengangkat sumpah jawatan dan menerima tauliah pelantikan sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) baharu hari ini.

Upacara mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah Exco itu berlangsung di hadapan ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dipengerusikan Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Alor Setar, pukul 10 pagi.

Mereka ialah ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail memegang portfolio sebagai (Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi).

ADUN Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob (Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usawahawan), Datuk Tajul Urus Mat Zain ADUN Tanjung Dawai (Pendidikan, Pengankutan dan Kerja Raya) manakala ADUN Kuala Nerang, Badrol Hisham Hashim (Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Perumahan dan Pembangunan Insan).

Selain itu turut mengangkat sumpah ialah ADUN Ayer Hangat, Mohd. Rawi Abdul Hamid( Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manuisa, Pelancongan), Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah ADUN Belantek( Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan).

ADUN Jitra, Aminuddin Omar (Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudyaan dan Warisan, Badan-Badan Bukan Kerajaan) dan Datin Noor Sabrina Mohd. Noor ADUN Bandar Baharu memegang portfolio (Sains Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi).

Kesemua lapan ADUN tersebut belum pernah dilantik memegang jawatan itu dengan empat daripada mereka adalah wakil rakyat penggal pertama.

Yang turut menyaksikan istiadat tersebut ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-10 pada 6 Mei lalu.

Mukhriz juga memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Majlis Tindakan Negeri, Kewangan dan Syarikat Milik Kerajaan Negeri.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13, BN memperoleh sebanyak 21 daripada 36 kerusi DUN sekali gus mendapat majoriti mudah bagi membolehkan memerintah negeri ini.

Turut berangkat pada majlis itu ialah tiga lagi anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah iaitu Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Sementara itu, Mukhriz juga berkata beliau akan memberi keutamaan kepada Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang selama ini dibelenggu masalah berkaitan pelajar dan kakitangannya yang tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan Insaniah.

Keutamaan adalah mengenai kebajikan pelajar-pelajar dan kakitangan KUIN yang berkaitan dan akan melihat semula apa yang bakal dilakukan untuk mengembalikan kecemerlangan KUIN.

Setakat ini hutang KUIN mencecah RM330 juta ringgit. Namun kajian semula akan dilakukan bagi menimbang proses penambahbaikan yang akan dilakukan kerana perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk kewangan negeri.

“Selaku Menteri Besar saya akan lakukan yang terbaik dengan memberi keutamaan kepada kebajikan pelajar-pelajar dan kakitangan selain daripada kedua-dua institusi itu sendiri itu kena tunggu dan lihat kita akan tengok apa yang sesuai itu antara perkara yang saya perlu ambil perhatian,” kata Mukhriz.