IPOH: Kerajaan Perak menafikan dakwaan pembangkang bahawa proses bagi memperoleh borang permohonan Kad Perak Sejahtera dilakukan secara tertutup dan hanya diuruskan oleh pemimpin politik UMNO.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri, Salbiah Mohamed berkata sebaliknya borang berkenaan boleh dimuat turun oleh sesiapa daripada laman sesawang mahupun emel Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak).

“Sesiapa juga boleh mengambil ataupun muat turun borang permohonan berkenaan untuk diedarkan kepada pemohon-pemohon yang hendak mohon bantuan.

“Jadi tak ada masalah sekiranya DAP, UMNO atau Pas hendak muat turun borang tersebut dan edarkan kepada pemohon-pemohon bagi diisi. Ini kerana, akhirnya kita akan membuat tapisan pemohon dalam Mesyuarat Pengurusan Jawatankuasa Kad Perak sejahtera.

“Jadi salahkah sekiranya UMNO mengambil inisiatif untuk memuat turun borang tersebut dan diedarkan kepada rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azizi Mohamed Ridzuwan (PN-Lubok Merbau) ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Isnin.

Terdahulu dalam soalan lisan, Azizi memohon penjelasan daripada kerajaan negeri kerana mendakwa masyarakat di kawasannya mendapatkan borang permohonan Kad Perak Sejahtera di Pejabat UMNO Padang Rengas dan bukan daripada pejabat penghulu atau wakil rakyat.

Dalam pada itu, Salbiah (BN-Temengor) menegaskan borang berkenaan hanya dikeluarkan Wanita Perak selaku pelaksana inisiatif berkenaan sejak ia diwujudkan pada tahun 2019.

Malah tegaskan, laman sesawang Wanita Perak sentiasa telus dengan memaparkan perkembangan terkini berkenaan jumlah permohonan dan penerima di seluruh negeri yang diluluskan dari semasa ke semasa.

“Tak ada masalah sekiranya pihak Pas, DAP atau UMNO hendak muat turun borang dan edar kepada masyarakat. Ini kerana kita sentiasa berlapang dada dalam perkara berkenaan agar yang utama bantuan dapat sampai kepada rakyat.

“Namun selepas ni, kita melalui Wanita Perak akan salurkan borang-borang permohonan Kad Perak Sejahtera ini kepada semua pejabat pusat khidmat dan pejabat penghulu.

“Ini kerana kita sentiasa hendak buat penambahbaikkan dalam usaha ini untuk  memastikan peruntukan RM25 juta itu dapat sampai kepada 20,000 penerima sebagaimana yang kita sasarkan,” tambahnya.