KUALA LUMPUR: Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Teknik Tunku Abdul Rahman Putra, Pulang Pinang (EXTIPA) komited mengumpulkan dana sebanyak RM250,000 untuk membaiki semula fasiliti sekolah yang uzur di sekolah itu menerusi satu penganjuran majlis makan malam yang akan berlangsung pada 31 Julai ini di Hotel Jen by Shangri La, Pulau Pinang.

Presiden EXTIPA, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, usaha penambahbaikan sekolah itu digerakkan setelah berhubung dengan pihak sekolah dan merupakan sebuah tanggungjawab sosial korporat (CSR) persatuan untuk menyumbang semula kepada pembangunan masyarakat.

“Sekolah yang dibina sekitar tahun 60-an ini mempunyai reka bentuk tersendiri dan berbeza berbanding sekolah-sekolah dengan reka bentuk di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR). Oleh itu, disebabkan reka bentuknya yang sudah terlalu lama, ada beberapa bahagian (bangunan) sudah uzur dan perlu dibaiki.

“Selain itu, (sekolah) juga memerlukan dana yang mencukupi dan pihak sekolah telah meminta bantuan EXTIPA untuk mengumpulkan dana ini untuk terus memulihara dan memelihara insfrastruktur sedia ada.

“Jadi, saya melihat inisiatif ini seiring dengan hasrat kami sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu kerajaan menyalurkan bantuan kepada komuniti, malah memastikan sekolah ini akan dapat dibaiki dengan secepat mungkin demi keselesaan semua warganya,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Menara YTL, Kuala Lumpur, di sini hari ini.

 Lawatan EXTIPA ke Sekolah Menengah Teknik Tunku Abdul Rahman Putra, Pulang Pinang. - Foto EXTIPA


Antara bangunan sekolah yang uzur dan akan dibaiki. - Foto EXTIPA

Dalam pada itu, Azmi menambah, pada majlis makan malam itu turut akan dilancarkan tabung kebajikan untuk membantu pelajar dan keluarga golongan B40, serta bekas pelajar, guru termasuk ahli-ahli EXTIPA yang memerlukan. 

“EXTIPA akan terus menggembleng tenaga untuk mengusahakan sesuatu (yang baik), meskipun tidak terlalu besar impaknya tetapi inisiatif sebegini dilihat mampu ‘membuka mata’ lebih ramai pihak.

“Kami (NGO) juga berperanan membantu kerajaan dengan menyalurkan pelbagai jenis bantuan kepada rakyat yang memerlukan dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini,” jelasnya.

Katanya lagi, usaha murni sedemikian akan terus diperluas dan dipertingkatkan menerusi penganjuran program-program kemasyarakatan pada masa akan datang.

Sementara itu, katanya, majlis makan malam tersebut akan diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Antara lain yang akan hadir ialah Orang Besar Jajahan Manjung, Datuk Shaharudin Nazari; Orang Besar Jajahan Muaalim, Datuk Ir Dr Safry Kamal Ahmad; Mantan Naib Canselor UTM, Datuk Ir DR Wahid Omar dan Mantan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Mohd Yusof Latif.

Justeru, orang ramai dan ahli EXTIPA yang ingin membuat sumbangan, boleh salurkan ke dalam akaun Maybank (5627 6840 5574) atas nama EXTI PENANG ASSOCIATION.

Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi sekretariat EXTIPA, Mohd Shahid Saidin di talian 012-333 3592.

Info Majlis Makan Malam Alumni EXTIPA

Pakej 1:
Pakej 2:
Pakej 3:
Pakej 4:
Khas untuk warga EXTIPAPakaian: Batik (Lengan Panjang)