Skip to main content

Hiburan

Pak Nil bawa pengalaman empat dekad penyiaran ke pentas SHOW ADA KELAS

Menurut Aznil, SHOW ADA KELAS bukan bertujuan mengajar peserta bercakap semata-mata, sebaliknya membantu mereka memahami bagaimana untuk memastikan setiap mesej yang disampaikan benar-benar didengari dan dihargai.
Menurut Aznil, SHOW ADA KELAS bukan bertujuan mengajar peserta bercakap semata-mata, sebaliknya membantu mereka memahami bagaimana untuk memastikan setiap mesej yang disampaikan benar-benar didengari dan dihargai.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sepanjang lebih 40 tahun dalam industri penyiaran, Datuk Aznil Nawawi bukan sekadar menghiburkan jutaan penonton menerusi pelbagai program televisyen, malah membina hubungan yang merentasi generasi, latar belakang dan lapisan masyarakat.

Keupayaan berinteraksi dengan khalayak yang pelbagai itu kini diterjemahkan menerusi SHOW ADA KELAS – The Signature Communication Experience, sebuah program yang memberikan tumpuan kepada pembangunan kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan kredibiliti profesional.

Program anjuran Icon Entertainment itu dijadual berlangsung di Plenary Theatre, KLCC pada 28 November 2026, dari jam 3 petang hingga 5 petang.

Menurut Aznil, program berkenaan bukan bertujuan mengajar peserta bercakap semata-mata, sebaliknya membantu mereka memahami bagaimana untuk memastikan setiap mesej yang disampaikan benar-benar didengari dan dihargai.

"Dalam dunia komunikasi, kelebihan tersebut bukan sesuatu yang hadir dalam sekelip mata. 

"Ia terbentuk daripada pengalaman panjang, pemerhatian terhadap ragam manusia serta proses pembelajaran berterusan sepanjang lebih empat dekad saya berada di hadapan dan di belakang tabir industri penyiaran.

"Atas sebab itu, SHOW ADA KELAS tidak dibangunkan sebagai kelas pengucapan awam biasa," tegas Aznil kepada Astro AWANI.

Sebaliknya, personaliti yang sangat masyhur menerusi program realiti Akademi Fantasia terbitan Astro itu berkata, SHOW ADA KELAS juga dirangka sebagai satu pengalaman pembelajaran yang mengupas bagaimana keyakinan dibina, kepercayaan diraih dan idea disampaikan sehingga mampu meninggalkan kesan kepada khalayak.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, Aznil merupakan antara figura media yang berjaya mengekalkan relevansi merentasi perubahan landskap penyiaran, daripada era televisyen konvensional kepada ledakan platform digital hari ini.

Pengalaman berinteraksi dengan pelbagai kelompok masyarakat itu menjadi antara nilai utama yang dibawa ke dalam program berkenaan.

Peserta, jelas Aznil, akan mengikuti lima modul utama iaitu Komunikasi Bermula Dengan Keyakinan, Seni Berkomunikasi Yang Meyakinkan, Executive Presence, Storytelling Yang Berkesan dan Menjadi Individu Yang Dipilih.

"Modul-modul tersebut merangkumi pelbagai aspek penting, termasuk pengurusan keyakinan diri, penggunaan bahasa badan, kawalan suara, teknik pembentangan, penyusunan idea, penceritaan yang berkesan serta pembinaan penjenamaan diri dan kredibiliti profesional," jelas selebriti tersohor yang bakal mencecah usia 64 tahun bulan depan.

Image
Insert_Aznil Nawawi_ICON Entertainment.jpg
Aznil (kiri) bersama pengasas ICON Entertainment, Iman Tang.

Apa yang membezakan program ini ialah pendekatan edutainment yang menggabungkan perkongsian pengalaman, demonstrasi, latihan praktikal dan interaksi secara langsung. 

Pendekatan tersebut memberi peluang kepada peserta memahami bagaimana teori dapat diaplikasikan dalam situasi sebenar, sama ada di tempat kerja, dalam perniagaan mahupun kehidupan harian.

Dalam persekitaran yang semakin kompetitif, ramai individu mempunyai idea yang baik tetapi berdepan kesukaran untuk menyampaikannya dengan berkesan.

Ada yang berasa gugup ketika membuat pembentangan, ada yang sukar meyakinkan pelanggan dan rakan sekerja, manakala sebahagian lagi bergelut untuk menonjolkan kepakaran yang dimiliki.

Justeru, SHOW ADA KELAS disasarkan kepada pelbagai lapisan peserta termasuk golongan profesional, usahawan, penjawat awam, pendidik, pemimpin komuniti dan pencipta kandungan yang mahu meningkatkan keterampilan diri serta keberkesanan penyampaian mereka.

Malah, falsafah yang dibawa program tersebut dapat dirumuskan menerusi ungkapan yang sering ditekankan Aznil, iaitu beliau tidak mengajar cara untuk bercakap, sebaliknya mengajar cara untuk didengar.

Tiket program ditawarkan pada harga RM288 dan RM388, selain pilihan tambahan seperti e-sijil, sijil fizikal dan sesi meet and greet bersama Aznil.

Dalam era yang memberi ruang kepada semua orang untuk bersuara, keupayaan menyampaikan idea dengan jelas dan meyakinkan semakin menjadi kelebihan yang dicari. 

Berbekalkan pengalaman lebih empat dekad dalam industri penyiaran, Aznil mahu berkongsi pembelajaran yang diperoleh sepanjang kerjayanya agar dapat dimanfaatkan oleh golongan profesional, usahawan dan pencipta kandungan dalam mendepani cabaran dunia masa kini.

 

Must Watch Video

Advertisement