KRAKOW, POLAND: Enam individu terbunuh manakala sejumlah lain lagi cedera dalam satu serangan tembakan yang dipercayai bermotifkan ideologi kanan ekstrem di pusat bandar Krakow, bandar kedua terbesar di Poland, pada Sabtu.
Menurut pihak berkuasa, suspek memandu masuk ke Dataran Pasar Utama (Main Market Square) sebelum melepaskan tembakan secara rambang ke arah orang ramai yang berada di kawasan tumpuan pelancong itu.
Suspek yang dilengkapi senjata serta pakaian taktikal ala ketenteraan berjaya ditembak dan ditumpaskan polis selepas insiden berbalas tembakan.
Seorang anggota polis dilaporkan cedera parah dalam operasi tersebut.
Lelaki warga Poland berusia 25 tahun it, yang disifatkan seorang menteri sebagai berpandangan ultra nasionalis, terselamat dan kini berada dalam tahanan polis.
Perdana Menteri Poland, Donald Tusk berkata, tiga lagi mayat ditemukan kemudian di kediaman suspek.
“Sehingga kini Poland tidak pernah berdepan insiden keganasan sedemikian. Serangan kejam terhadap nyawa manusia di Krakow ini perlu dianggap sebagai satu tindakan pengganas,” katanya.
Menurut pihak berkuasa, tiga daripada mangsa yang maut ialah rakyat Poland, seorang warga Britain manakala identiti dua lagi mangsa masih belum dikenal pasti.
Perdana Menteri Britain, Andy Burnham meluahkan rasa terkejut dan sedih terhadap insiden berkenaan.
“Takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban, mereka yang cedera dan semua yang terkesan akibat keganasan tidak berperikemanusiaan ini. United Kingdom berdiri teguh bersama rakyat Poland,” katanya.
Serangan itu bermula kira-kira jam 3 petang waktu tempatan di kawasan bersejarah Krakow yang terkenal sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
Rakaman video yang tersebar menunjukkan kenderaan suspek memecut melalui pusat bandar ketika orang ramai bertempiaran lari selepas bunyi tembakan kedengaran.
Beberapa premis mengalami kerosakan apabila cermin hadapan kedai ditembusi peluru, manakala sebuah trem turut menjadi sasaran tembakan dalam insiden yang berlangsung kira-kira tiga minit.
Gambar dari lokasi kejadian menunjukkan meja-meja yang terbalik serta barangan peribadi ditinggalkan ketika orang ramai menyelamatkan diri.
Anggota polis bersenjata mengejar kenderaan suspek sebelum ia terbabas dan terhenti, lalu tercetus pertempuran bersenjata antara suspek dan pihak berkuasa.
Rakaman yang disahkan media tempatan menunjukkan seorang anggota polis yang dipercayai cedera berdepan suspek yang sedang terbaring di atas jalan sebelum rebah beberapa ketika kemudian.
Seorang menteri Poland memaklumkan, seorang anggota polis sedang bertarung nyawa manakala seorang lagi dijangka pulih daripada kecederaan yang kurang serius.
Tusk kemudian mengenal pasti kedua-dua anggota terbabit sebagai Konstabel Kanan Jakub Kulik dan Konstabel Kanan Artur Morański, sambil menyifatkan mereka sebagai “wira sebenar” kerana berjaya menyelamatkan banyak nyawa.
Pusat bandar Krakow diletakkan dalam keadaan berkawal ketat ketika pihak berkuasa memberi rawatan kepada sekurang-kurangnya 15 mangsa yang cedera.
Beberapa bangunan turut dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga ketika polis memeriksa kenderaan suspek bagi mengesan kemungkinan terdapat bahan letupan.
Hasil pemeriksaan lanjut di kediaman suspek membawa kepada penemuan mayat dua wanita dan seorang lelaki.
Menurut Tusk, terdapat petunjuk kuat bahawa ketiga-tiga mangsa berkenaan merupakan ahli keluarga terdekat suspek.
Walaupun identiti suspek belum diumumkan secara rasmi, pihak berkuasa mengesahkan dia merupakan lelaki warga Poland berusia 25 tahun.
Menteri Dalam Negeri Poland, Marcin Kierwiński berkata, semua petunjuk menunjukkan suspek mempunyai ketaksuban terhadap fahaman kanan ekstrem serta memegang ideologi ultra nasionalis.
Ketika melancarkan serangan, suspek dilaporkan memakai kelengkapan taktikal penuh dan menggunakan senjata bertaraf ketenteraan, namun kerajaan menegaskan dia bukan anggota angkatan tentera Poland.
Pihak berkuasa turut menemukan lebih banyak senjata dan peluru dalam kenderaan yang digunakan suspek.
Kehadiran polis bersenjata dipertingkatkan di seluruh Krakow pada malam Sabtu, manakala langkah keselamatan turut diperketatkan di ibu negara, Warsaw, serta beberapa lokasi lain.
Tusk memberi jaminan bahawa mana-mana individu yang disyaki membantu atau menyokong suspek akan ditahan dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
Daripada 15 mangsa yang cedera, dua merupakan anggota polis manakala lima lagi ialah warga asing dari Britain, Austria, Rusia, Jerman dan Portugal.
Setiausaha Luar Britain, Ed Miliband, berkata kerajaan United Kingdom “amat berdukacita” atas kehilangan nyawa dalam serangan tersebut.
“Ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga semua mangsa,” katanya.
Kementerian Luar Britain turut mengemas kini nasihat perjalanan ke Poland dan menggesa rakyatnya yang berada di kawasan terjejas supaya mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu, saksi yang berada berhampiran lokasi kejadian menggambarkan suasana panik dan kelam-kabut ketika serangan berlaku.
Seorang pelajar universiti berusia 24 tahun berkata, dia pada mulanya tidak menyedari bunyi letupan yang didengarinya merupakan tembakan sehingga melihat empat mayat terbaring di atas jalan.
“Kami masih mendengar bunyi tembakan. Ramai orang menjerit,” katanya sambil menambah dia melihat seseorang cuba memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa yang berlumuran darah.
Seorang pelancong dari Newcastle, United Kingdom pula berkata, dia mendengar bunyi tembakan dari bilik hotelnya sebelum diarahkan berlindung apabila polis menutup kawasan sekitar.
Seorang lagi saksi memberitahu media tempatan bahawa dia melihat tembakan dilepaskan dari tingkap sebelah pemandu kenderaan suspek sebelum berlari mendapatkan perlindungan di balai polis berhampiran.
Tempoh berkabung rasmi telah diisytiharkan di Krakow sehingga 11 November. - Agensi