TUMPAT: Faktor cuaca didapati antara punca berlaku peningkatan kes demam denggi di Kelantan, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata keadaan cuaca panas dan diselang-seli dengan hujan yang berlaku sejak kebelakangan ini merupakan keadaan yang kondusif untuk pembiakan nyamuk aedes.

"Demam denggi masih lagi endemik di negeri ini dengan kes dilaporkan sepanjang tahun dan sehingga September lepas dengan jumlah kumulatif sudah melebihi 1,500 kes.

"Bagi jajahan Tumpat, sebanyak 220 kes telah dilaporkan hingga 30 September tahun ini berbanding hanya 38 kes dalam tempoh sama tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 479 peratus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) & One Hour Malaysia Clean Up di Kampung Geting di sini hari ini.

Beliau berkata pergerakan penduduk yang tinggi dari bandar besar yang sedang mengalami peningkatan kes denggi terutama ketika cuti panjang turut menyebabkan penularan denggi di negeri ini.

Sementara itu, Dr Zaini berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Pelan Strategik ANMS telah menetapkan keutamaan untuk memantapkan kebersihan persekitaran sebagai Teras Ke-4 ANMS.

"Menerusi teras ini terkandung empat strategi lain iaitu meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kebersihan persekitaran, memperkukuh usaha ke arah kelestarian alam sekitar, memperkasa komuniti dan mewujudkan persekitaran yang menyokong kesihatan.

"Strategi dan inisiatif dalam teras ini sejajar dan melengkapi keperluan Dasar Kebersihan Negara di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT)," katanya.

-- BERNAMA