GEORGE TOWN: Solat Jumaat dan solat fardu dibenarkan di Pulau Pinang mulai hari ini selepas negeri itu beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kehadiran jemaah ditetapkan tidak melebihi 150 orang di masjid negeri dan daerah  minggu ini, menurut keputusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP).

Menurut pekeliling dikeluarkan pada Khamis, JHEAINPP turut membenarkan solat Jumaat diadakan di masjid kariah dengan jumlah jemaah tidak melebihi 100 orang manakala tidak melebihi 50 orang untuk perlaksanaan di semua surau Jumaat di negeri ini.

Pengarahnya, Mohd Zakuan Zakaria berkata, garis panduan dan tatacara keagamaan di masjid dan surau bagi tempoh perlaksanaan Fasa Dua PPN telah melalui perbincangan khas yang diadakan bersama Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang , Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.

Katanya, selain ketetapan bagi perlaksanaan solat Jumaat, pihaknya turut membenarkan solat fardu diadakan di semua masjid dan surau di negeri ini dengan kapasiti kehadiran jemaah yang sama.

"Solat sunat Aidiladha juga dibenarkan dilakukan di semua masjid dan surau dengan jumlah kehadiran jemaah seperti ditetapkan bagi masjid negeri dan daerah, masjid kariah serta surau.

"Kita turut membenarkan solat jenazah dan pengebumian diadakan dengan kehadiran tidak melebihi 30 orang terutama imam, ahli jawatankuasa kariah dan keluarga terdekat sahaja," katanya.

Mohd Zakuan berkata aktiviti ibadah korban dibenarkan untuk dijalankan dengan mengikut Garis Panduan Ibadah Korban Negeri Pulau Pinang Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 Tahun 1442H/2021M.

Bagaimanapun katanya, pihaknya melarang sebarang majlis pengimarahan atau sosial diadakan termasuk memasak atau mengadakan jamuan selepas solat sunat Aidiladha.

Tambahnya, aktiviti menziarahi kubur masih lagi tidak dibenarkan sehingga hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zakuan turut mengingatkan sejak 25 November tahun lalu sebanyak 19 buah masjid telah ditutup berikutan berlaku kes penularan COVID-19 dan semua pentadbir serta ahli jawatankuasa masjid serta surau perlu memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa diamalkan setiap masa.

Tambahnya arahan mengenai perlaksanaan aktiviti masjid dan surau akan dikeluarkan dari semasa ke semasa tertakluk kepada situasi semasa COVID-19 dan nasihat daripada MKN.