KUALA LUMPUR: Obligasi mandatori kepada penyedia perkhidmatan Internet (ISP) untuk menyekat sebarang bahan penderaan seksual kanak-kanak antara cadangan bagi fasa dua pindaan kepada undang-undang berkaitan perlakuan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan berkata ia disasar dilakukan pada persidangan Parlimen akan datang dengan mengambil kira pandangan daripada Civil Society Organisations (CSOs), Pesuruhjaya Kanak-kanak, pakar akademik dan pihak berkepentingan lain.

Beliau berkata cadangan lain yang dikemukakan ialah memperluas penggunaan pendengaran praperbicaraan yang mandatori bagi kes melibatkan kanak-kanak untuk menggalakkan pegawai kehakiman mengurus kes melibatkan kanak-kanak secara lebih proaktif dan menetapkan peraturan asas cara atau kaedah kanak-kanak memberikan keterangan.

Selain itu, memperkenalkan peruntukan baharu bagi mengiktiraf kewibawaan kanak-kanak untuk memberi keterangan bagi menggantikan peruntukan kanak-kanak masih mentah (tender years).

Cadangan pindaan juga berhubung pemansuhan keperluan sokongan mandatori bagi semua keterangan kanak-kanak dan ia diterima secara sama dengan keterangan-keterangan lain serta pemansuhan keperluan transkrip dalam bahasa asal yang diberikan kanak-kanak semasa rakaman video.

"Bagaimanapun, cadangan-cadangan ini akan terus dikaji secara lebih mendalam dan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dan pakar yang berkaitan akan terus dilaksanakan sebelum persidangan Parlimen yang akan datang," katanya.

Menurut Azalina kerajaan juga dalam proses penggubalan rang undang-undang khusus bagi menubuhkan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang bebas seperti yang telah dipersetuju Jemaah Menteri.

"Kerajaan MADANI tidak berkompromi terhadap jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan melihat bahawa pindaan kepada akta-akta ini merupakan suatu langkah kukuh dalam usaha untuk membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia," katanya.

Kerajaan juga menyeru orang ramai membuat laporan di balai polis terdekat sekiranya mengetahui tentang kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak atau menghubungi Talian Kasih di 15999.

Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 diluluskan di Dewan Negara hari ini.

-- BERNAMA