Fasa kedua pelan Gaza akan berlaku dalam masa terdekat - Trump

Trump mengelak menjawab soalan pemberita mengenai bila fasa kedua itu akan bermula. - Gambar fail/ Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu berkata fasa kedua pelan beliau untuk Gaza "akan berlaku dalam masa terdekat," lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ketika ditanya pemberita bila fasa kedua itu akan bermula, Trump mengelak soalan berkenaan dan hanya berkata keadaan "berjalan dengan baik."
"Mereka menghadapi masalah hari ini apabila bom meletup - mencederakan beberapa orang dengan teruk, mungkin membunuh beberapa orang," katanya di Rumah Putih, merujuk kepada serangan Israel di selatan Semenanjung Gaza yang mengorbankan sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin lewat Rabu, sekali gus melanggar gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Palestin Hamas.
"Mereka memaklumkan kepada saya kejadian itu baru berlaku. Tetapi semuanya berjalan lancar. Kita mempunyai keamanan di Timur Tengah. Orang ramai tidak menyedarinya," katanya.
Serangan itu berlaku tidak lama selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengancam untuk "bertindak sewajarnya" susulan kecederaan beberapa askar dalam pertempuran dengan pejuang Palestin di Rafah.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata itu merangkumi pembebasan tebusan Israel sebagai pertukaran bagi pembebasan tahanan Palestin. Pelan itu turut merangkumi usaha membangunkan semula Gaza serta penubuhan mekanisme pentadbiran baharu tanpa Hamas.
Serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023 telah meragut lebih 70,000 nyawa - kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan hampir 171,000 yang lain.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

