KWASA DAMANSARA: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh membuat permohonan bagi Fasiliti Sokongan Akaun (FSA2) bermula 7 April ini.

Menurut KWSP dalam satu kenyataan pada Isnin, permohonan Fasa 1 ini bagi individu berusia 40 tahun dan ke atas, manakala Fasa 2 bagi mereka yang berumur 40 tahun ke bawah akan dimaklumkan kelak.

Jelas KWSP, permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui institusi perbankan yang mengambil bahagian.

Dua bank akan mengambil bahagian dalam FSA2 iaitu MBSB dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Antara syarat yang ditetapkan adalah pemohon mesti mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP.

Selain itu, jumlah pembiayaan maksimum RM50,000 (tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP) serta tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.

Pihak bank juga akan mentadbir sepenuhnya proses permohonan untuk pembiayaan peribadi melalui kemudahan ini.

Kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) antara 4% hingga 5% berbanding 8% hingga 15% daripada kadar pasaran semasa.

Dalam pada itu, KWSP turut memaklumkan, akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun 2  ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank.

Jumlah yang dibayar akan digunakan untuk menjelaskan baki pembiayaan peribadi, sekiranya ada, sebelum memulangkan sebarang lebihan kepada ahli.

FSA2 merupakan satu kemudahan yang bertujuan membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.

Fasiliti sokongan ini menawarkan penyelesaian praktikal untuk ahli KWSP yang menghadapi isu ketidakcukupan tunai sementara dengan menyediakan aliran tunai melalui pembiayaan peribadi.