KUALA LUMPUR: Jabatan Kesihatan Labuan mengesahkan telah menerima kelengkapan makmal bagi mempercepatkan proses sampel ujian saringan COVID-19.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan, Rithuan Mohd Ismail, langkah itu bakal membolehkan Labuan memproses 400 sampel saringan dalam sehari.

"Berdasarkan makluman daripada Jabatan Kesihatan WP Labuan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil perhatian (terhadap peningkatan kes) dan kita difahamkan telah menerima mesin pengujian.

"(Dengan adanya mesin ini) 400 sampel boleh diproses dalam masa sehari, cuma ketika ini masih dalam proses commissioning (menanti arahan).

"Jadi selepas itu nanti, kita tidak lagi perlu menghantar sampel-sampel kita ke Kota Kinabalu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Dalam masa yang sama, jelas beliau Labuan turut membuka empat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dalam menampung individu yang dikesan positif COVID-19.

"Untuk mana-mana yang kita kenal pasti sebagai kontak rapat dan kawasan atau persekitaran yang kita kenal pasti sebagai tracking kes, kita menerima keseluruhan individu dalam pengawasan (PUS) dan disyaki berkontak rapat dengan pesakit COVID-19 (PUI) untuk dikuarantin.

"Jadi isu mereka boleh berkeliaran itu tidak menjadi isu di Labuan. Kita juga telah mengambil langkah membuat saringan secara besar-besaran, maknanya kita telah membuka sebanyak empat PKRC di Labuan ini," jelas beliau.

Dalam pada itu, susulan peningkatan kes yang ketara sejak kebelakangan ini, Labuan turut menggunakan pendekatan sekatan secara bersasar melibatkan beberapa kawasan mulai 15 Jun depan.

Ia dilaksanakan dengan mengambil kira kawasan yang mempunyai potensi atau hotspot dalam penyebaran wabak COVID-19.

Labuan pada Sabtu mencatatkan pertambahan 250 kes baharu positif COVID-19. Ini menjadikan jumlah kumulatif di negeri itu meningkat kepada 5,884.