KUALA LUMPUR: Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) membantah penerbitan sebuah iklan berkonsepkan Hari Kebangsaan yang cuba menimbulkan isu perkauman.

Presidennya, Dr Ahmad Ibrahim berkata bantahan itu merujuk kepada sebuah video berdurasi satu minit yang diterbitkan oleh sebuah pertubuhan memaparkan adegan seorang bapa melontarkan kata-kata berunsur perkauman di hadapan anaknya yang kemudian ditegur oleh isterinya.

"Walaupun dalam video tersebut tertulis penafian, FDAM berpandangan ia tetap menyinggung perasaan pelbagai kaum di negara ini yang amat menghormati makna perpaduan dalam hidup bermasyarakat di Malaysia," katanya.

Beliau berkata iklan yang disiarkan menerusi platform media sosial itu tidak sesuai untuk tatapan penonton serta menggesa pihak berwajib iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak penerbit.

"Penerbitan video konsep Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) seperti ini boleh menjejaskan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini yang sekian lama terjalin," katanya.

Ahmad berkata perkara ini membimbangkan memandangkan ia telah tersebar dalam media sosial biarpun video tersebut telah ditarik balik oleh pihak penerbit daripada siaran.

FDAM berharap Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dapat terus memantau penerbitan video seperti itu dan nilai perpaduan khususnya tema Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat dihayati sebaik mungkin.

-- BERNAMA