Skip to main content

Malaysia

Femisida: Naratif 'bunuh kerana sayang' normalisasikan keganasan terhadap wanita – Pakar

Tanggapan bahawa kanak-kanak lelaki tidak boleh menangis, perlu sentiasa bersikap keras dan tidak boleh menunjukkan kelembutan berpotensi membentuk sikap agresif serta mengurangkan keupayaan mereka untuk berempati. - Gambar hiasan
Tanggapan bahawa kanak-kanak lelaki tidak boleh menangis, perlu sentiasa bersikap keras dan tidak boleh menunjukkan kelembutan berpotensi membentuk sikap agresif serta mengurangkan keupayaan mereka untuk berempati. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Naratif 'bunuh kerana sayang' atau 'bertindak akibat cemburu' dalam kes femisida berisiko menormalisasikan keganasan terhadap wanita, selain mengalihkan tanggungjawab daripada pelaku kepada mangsa.

Pakar Kriminologi dan Psikologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Geshina Ayu Mat Saat berkata, alasan sedemikian sering digunakan oleh masyarakat mahupun pelaku untuk mewajarkan tindakan keganasan yang berpunca daripada keinginan mengawal dan mendominasi wanita.

"Dalam banyak kes femisida, berbagai-bagai mitos yang sering digunakan, bukan sahaja oleh masyarakat tetapi juga pelaku untuk mengeyakan kelakuan mereka tersendiri. Jadi sebagai contoh, dia bunuh kerana terlalu sayang.

"Wanita dianggap sebagai milik lelaki dan lelaki berhak mengawal pasangan mereka. Mitos selainnya adalah ia berlaku kerana cemburu. Mitos ketiga, mangsa sendiri yang mencetuskan provokasi kepada pelaku," katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Geshina menegaskan, penerimaan terhadap naratif berkenaan bukan sahaja mengurangkan keseriusan ancaman dalam hubungan intim, malah boleh menyebabkan tanda-tanda awal keganasan dipandang ringan.

"Mengapa mitos ini bahaya? Kerana, ia akan menormalisasikan keganasan, mengalihkan tanggungjawab daripada pelaku kepada mangsa, mengurangkan keseriusan ancaman dan keganasan pasangan intim.

"Naratif ini semua mesti diubah. Cemburu bukan alasan untuk keganasan," tegasnya.

Sementara itu, bekas Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) USM, Prof Datuk Dr Noraida Endut berkata, budaya maskuliniti toksik yang mengaitkan kelelakian dengan kekerasan dan penolakan emosi perlu ditangani sejak peringkat kanak-kanak.

Menurut beliau, tanggapan bahawa kanak-kanak lelaki tidak boleh menangis, perlu sentiasa bersikap keras dan tidak boleh menunjukkan kelembutan berpotensi membentuk sikap agresif serta mengurangkan keupayaan mereka untuk berempati.

"Kalau kita ajarkan seperti itu dari kecil lagi dan kita besar-besarkan dia, kita kata, budak lelaki tidak boleh menangis, dia mesti keras, tak boleh beremosi.

"Kita mengajar kanak-kanak lelaki mempunyai sifat atau sikap yang kemudiannya menjadi agresif, tidak suka berasa lemah lembut, merasakan lemah lembut ini satu karakter yang negatif, tidak boleh berempati dengan sesuatu situasi," jelasnya.

Justeru, kedua-dua pakar menekankan kepentingan mengubah persepsi masyarakat terhadap keganasan berasaskan gender, termasuk melalui pendidikan awal yang menggalakkan empati, kesaksamaan dan hubungan yang sihat bagi mencegah tragedi femisida.
 

Dialog Tiga Penjuru: Bila Nyawa Diragut Kerana Gender 

Must Watch Video

Advertisement