Situasi hujan dan lembab yang melanda di seluruh negara ketika ini dijangka berterusan hingga 15 November ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Datuk Che Gayah Ismail berkata negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung dan bahagian Timur Sabah dijangka mengalami hujan di sebelah pagi.

"Sementara di sebelah petang dan awal malam pula, kita jangkakan hujan lebat dan ribut petir di kebanyakkan tempat di Semenanjung, pedalaman dan bahagian Timur Sabah serta pedalaman Sarawak," kata Che Gayah ketika dihubungi Astro AWANI.

Mengulas berkenaan episod hujan lebat monsun, Che Gayah berkata pencerapan cuaca hingga 13 November ini tidak menunjukkan sebarang luruan sejuk yang memungkin perkara itu berlaku.

"Sepanjang musim tengkujuh yang bermula 24 Oktober lalu sehingga Mac ini, kita jangkakan terdapat empat fasa hujan lebat monsun. Seperti yang kita tinjau terdahulu, kita jangkakan satu fasa akan berlaku pada 1 hingga 13 November yang baru lepas.

"Namun kita syukur, luruan sejuk yang berlaku itu tidak cukup kuat untuk mengakibatkan fasa hujan lebat berlaku di Terengganu dan Kelantan...dan sekarang ini kita tunggu lagi tiga episod," jelasnya.


Hujan lebat monsun berlaku apabila luruan sejuk yang akan menyebabkan berlakunya angin kencang dan seterusnya membawa hujan yang lebat terutama di negeri-negeri di Pantai Timur di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Pada Isnin, MetMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di beberapa negeri seperti di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pantai Barat Johor dan Kudat, Sabah.

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.