MALAYSIA
Fenomena La Nina: DBKL siap sedia, pertingkat mitigasi banjir - Datuk Bandar

Maimunah berkata terdapat beberapa perkara diketengahkan dalam kesiapsiagaan menghadapi banjir termasuk memastikan pam berfungsi dengan baik. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) siap sedia menghadapi kemungkinan fenomena La Nina dengan memperkukuh sistem mitigasi banjir di ibu negara, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penyelenggaraan kolam takungan.
Ringkasan AI
- DBKL memperkukuh sistem mitigasi banjir di Kuala Lumpur bagi menghadapi fenomena La Nina, termasuk penggunaan teknologi AI untuk memantau paras air sungai secara masa nyata dan penyelenggaraan kolam takungan.
- Langkah kesiapsiagaan lain termasuk memastikan pam berfungsi, membersihkan longkang, serta memangkas pokok di sekitar ibu negara bagi mengelak insiden pokok tumbang.
- Pengurusan bencana di Kuala Lumpur melibatkan kerjasama pelbagai agensi di peringkat daerah dan pasukan khas dalaman DBKL, dengan SOP ditetapkan untuk menghadapi bencana alam.
"Apabila air sungai naik pada paras bahaya, sensor berkenaan akan terus berhubung secara terus kepada jurutera bertugas melalui satu aplikasi khas. Dengan maklumat itu, kami boleh ambil tindakan segera dalam menghadapi bencana banjir.
"Kami turut melihat kedalaman serta kebersihan kolam takungan dan memastikan tiada longkang tersumbat yang boleh menyebabkan banjir kilat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Zon Sifar Sisa WPKL, di sini hari ini.
Tambahnya, pihak DBKL juga sudah menjalankan kajian terhadap lebih 130,000 pokok di sekitar ibu negara dengan 40,000 daripadanya yang berada di sepanjang jalan melalui proses pemangkasan pokok bagi mengelak insiden pokok tumbang.
Dalam pada itu, kata Maimunah, Kuala Lumpur juga mempunyai dua peringkat pengurusan bencana iaitu peringkat daerah dan dalaman DBKL.
"Di peringkat daerah, bukan hanya ada DBKL (yang menyelaras bencana di Kuala Lumpur) tetapi juga membabitkan agensi lain termasuk pihak polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lain-lain.
"Di peringkat dalaman DBKL, kami ada pasukan khas berkaitan bencana alam yang mempunyai prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.
Malaysia dijangka berdepan fenomena La Nina singkat pada awal musim sejuk 2025/2026 dan berpotensi menjejaskan corak hujan bagaimanapun keadaan dijangka kembali stabil ke paras neutral tidak lama selepas itu.
Pusat Iklim Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan berkata, tinjauan cuaca jangka panjang September 2025 hingga Februari 2026 menunjukkan majoriti model iklim antarabangsa meramalkan keadaan El-Nino Southern Oscillation (ENSO) kini neutral dengan kebarangkalian 56 peratus berterusan sehingga Oktober ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami