SHAH ALAM: Fenomena anak muda khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih untuk menjadi pempengaruh media sosial sehingga sanggup mengetepikan pendidikan di peringkat lebih tinggi amat membimbangkan.

Timbalan Naib Presiden Program Wanita TalentCorp, Dinatra Mohd Saat berkata, golongan berkenaan dilihat terpengaruh dengan tawaran jangka pendek berdasarkan pendapatan yang diperoleh tanpa mengetahui kesan di masa akan datang.

Justeru beliau menegaskan, golongan ibu bapa, guru dan kaunselor di sekolah yang membimbing kerjaya pelajar perlu memperbetulkan stigma berkenaan supaya mereka dapat membuat keputusan terbaik untuk masa depan.

"Sangat membimbangkan kerana mereka hanya melihat untuk jangka masa pendek mengenai pendapatan dan pekerjaan.

"Mereka hanya melihat gaji yang akan diperoleh semasa permulaan pekerjaan (jadi pempengaruh), bagaimana pula dengan kemajuan karier dan pekerjaan dari segi pengembangan gaji selepas tiga atau lima tahun akan datang.

"Oleh itu kita mempunyai tanggungjawab sangat besar untuk betulkan stigma ini dan beri kesedaran kepada golongan muda yang mudah tertarik dengan pendapatan lumayan," katanya dalam program Wacana Sinar edisi 395 bertajuk 'Makan Gaji VS Kerja Sendiri' yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Selasa.

Turut diundang menjadi panelis adalah Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran dan Pakar Motivasi Keseimbangan Hidup dan Keusahawanan, Dr Hasnorliza Hassan manakala Ismail Adnan bertindak sebagai hos rancangan.

Dalam pada itu Dinatra berpandangan, sektor ekonomi gig terutama melibatkan golongan pempengaruh atau selebriti media sosial bakal mendapat persaingan ekoran perkembangan teknologi kecerdasan (AI).

"Memang sekarang influencer, selebriti media sosial tengah 'boom', tetapi adakah senario sama akan berlaku lima tahun akan datang ketika internet lebih berkembang dengan pesat.

"Sekarang ChatGPT (chatbot) sudah menjadi fenomena, maka adakah kita masih perlukan pempengaruh satu hari nanti sekiranya AI boleh menggantikan mereka," ujarnya. - Sinar Harian