MALAYSIA
Festival Food Havoc Tawau bertukar cemas, lima cedera dihempap papan tanda

Tindakan awal yang diberikan adalah bantuan kecemasan sebelum mangsa dihantar ke hospital. - Astro AWANI
TAWAU: Kemeriahan Festival Food Havoc di Tawau malam tadi bertukar panik apabila ribut kencang yang tiba-tiba melanda menyebabkan sekurang-kurangnya lima individu cedera selepas dihempap papan tanda besar yang tumbang.
Seorang wanita turut pengsan akibat terkejut, dalam kejadian yang berlaku sekitar 10.40 malam.
Salah seorang mangsa, Ardi, menceritakan detik cemas itu apabila dia dan beberapa individu lain sedang bergambar di hadapan papan tanda festival sebelum angin kuat tiba-tiba menerpa, membawa bersama debu tebal yang mengganggu penglihatan.
"Kami tidak sempat mengelak kerana semuanya berlaku begitu cepat. Tiba-tiba papan tanda itu tumbang, dan orang ramai menjerit kerana ada yang terhempap," katanya.Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tawau, Lt. M (PA) Jamaliah Hamade, keadaan cuaca ketika itu sangat buruk dengan hujan lebat dan ribut petir.
"Akibat hujan lebat malam tadi, anggota bertugas di program telah menghantar seorang wanita berumur 21 tahun yang pengsan akibat terkejut.
"Tindakan awal yang diberikan adalah bantuan kecemasan sebelum mangsa dihantar ke hospital," katanya.
Kesemua mangsa yang cedera kini mendapatkan rawatan di Hospital Tawau, dan setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Selain insiden kecederaan, beberapa gerai makanan di festival turut mengalami kerosakan akibat ribut kuat yang melanda.
Dengan kejadian ini, pihak berkuasa mengingatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam keadaan cuaca buruk, terutama di kawasan terbuka.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami