LABUAN: Festival Kesenian Borneo ke-13 2026 menarik lebih 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya yang bermula 25 Sept termasuk pelancong dari luar Labuan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Lo Su Fui.
Beliau berkata jumlah itu membuktikan tarikan kuat seni dan budaya yang menyumbang kepada kemeriahan festival menghimpunkan ratusan penggiat bidang itu dari seluruh negara selain Brunei, Indonesia serta Filipina.
“Kehadiran ribuan pengunjung bukan sahaja daripada komuniti tempatan tetapi juga pelancong luar membuktikan seni dan budaya sebagai bahasa sejagat yang berupaya menyentuh hati serta menyatukan kita tanpa mengira latar belakang,” katanya pada majlis penutupan BAF 2026 di sini pada Ahad.
Lo berkata festival itu menampilkan lebih 10 program utama termasuk Sounds of Borneo dan peragaan fesyen etnik manakala lebih 100 jam karya kreatif dan persembahan pentas disajikan sepanjang acara itu.
Beliau berkata penyertaan penggiat seni dari tujuh wilayah dan negara itu menjadikan acara tersebut sebagai platform untuk pertukaran budaya, membina jalinan rangkaian serta kerjasama dalam kalangan pengamal seni.
“Kreativiti yang ditampilkan pada BAF 2026, daripada persembahan tarian dan peragaan fesyen hingga persembahan muzik, benar-benar bertaraf antarabangsa dan membuktikan karya kreatif Borneo sangat bernilai,” katanya.
Lo berkata festival itu bukan sahaja acara seni tahunan tetapi juga menjadi sebahagian daripada strategi utama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) untuk memperkukuh Labuan sebagai hab penganjuran acara dan pelancongan kebudayaan di rantau ini.
Beliau berkata limpahan ekonomi daripada penganjuran festival itu memberikan manfaat terus kepada penduduk setempat, pengusaha hotel dan inap desa, pemandu teksi dan e-hailing, peniaga kecil, usahawan kraf tangan serta penjaja makanan tempatan.
“Inilah kekuatan Ekonomi Jingga atau ekonomi berasaskan konsep kreatif yang akan terus kita beri tumpuan dan sokongan,” katanya.
Lo berkata penganjuran BAF secara berterusan juga penting dalam memelihara seni, budaya serta warisan, terutamanya di tengah-tengah pembangunan pesat dan kemajuan teknologi.
Beliau berkata warisan seni yang sering diamalkan akan kekal hidup dan terpelihara daripada kepupusan sementara amalan dan penghayatan mendalam membolehkan tradisi budaya diwarisi oleh generasi akan datang.
“Seni yang difahami dan dihayati sepenuhnya akan terus subur merentas zaman,” katanya.
Lo juga menggesa golongan muda, pencipta kandungan, peminat dan penggiat seni supaya terus menghasilkan karya kreatif, membina rangkaian dan mempromosikan warisan budaya Borneo menerusi platform moden.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Labuan, JWP, jawatankuasa penganjur, rakan media, juri serta penggiat seni dan budaya yang terlibat atas sumbangan mereka dalam menjayakan BAF 2026.
-- BERNAMA