Skip to main content

Malaysia

Festival Sungai Melaka 2026: 30 perahu berhias semarakkan Sungai Linggi, tarik lebih 50,000 pengunjung

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Tuan Shaharul Azuar Idris berkata, pertunjukan edisi kedua itu melibatkan nelayan dari Telok Berembang, Ramuan China Kechil, Paya Lebar, Sungai Timun dan Sungai Mati. - Foto PPSPM
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Tuan Shaharul Azuar Idris berkata, pertunjukan edisi kedua itu melibatkan nelayan dari Telok Berembang, Ramuan China Kechil, Paya Lebar, Sungai Timun dan Sungai Mati. - Foto PPSPM
Advertisement

ALOR GAJAH: Festival Sungai Melaka 2026 mencipta kelainan tersendiri apabila buat julung kalinya diperluas ke ketiga-tiga daerah di Negeri Melaka dengan merekodkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung sepanjang tempoh penganjurannya.

Menghimpunkan lebih 30 acara berteraskan pelancongan, warisan, kebudayaan dan rekreasi di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah, festival anjuran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu berjaya menjana limpahan ekonomi secara langsung kepada peniaga serta komuniti setempat.

Kemuncak kemeriahan di daerah Alor Gajah menyaksikan Jeti Telok Berembang menjadi ‘pentas’ perarakan 30 buah perahu berhias berkonsepkan patriotik oleh komuniti nelayan darat yang menyusuri Sungai Linggi.

Advertisement

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Tuan Shaharul Azuar Idris berkata, pertunjukan edisi kedua itu melibatkan nelayan dari Telok Berembang, Ramuan China Kechil, Paya Lebar, Sungai Timun dan Sungai Mati, meningkat berbanding hampir 20 perahu pada edisi terdahulu.

"Penganjuran ini bukan sekadar memberi ruang kepada nelayan darat menampilkan kreativiti, malah menjadi platform PPSPM untuk mengeratkan hubungan dan memperkukuh kerjasama dengan komuniti setempat," katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Advertisement

Menurut Shaharul Azuar, kerjasama erat itu penting bagi menyokong promosi serta operasi Eco-Cruise Sungai Linggi, selain memanfaatkan ekosistem Sungai Rembau dan Sungai Linggi yang kaya dengan flora, fauna, pokok berembang dan kelip-kelip sebagai produk pelayaran malam.

Penganjuran festival di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang dihadiri ADUN Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer itu sahaja berjaya menarik kehadiran hampir 3,000 pengunjung menerusi pelbagai sukan rakyat seperti konda-kondi, dam aji, tebar jaring dan memancing udang galah.

Selain Alor Gajah, daerah Jasin turut mencuri tumpuan menerusi penganjuran Melaka RC Power Boat Merdeka Race Open Challenge 2026 berlatarbelakangkan eko-pelancongan Tasik Chin Chin.

Sementara itu di Melaka Tengah, kemeriahan tertumpu di sekitar Pengkalan Rama yang menyaksikan festival berkenaan melakar sejarah tersendiri apabila mencatatkan dua pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR), iaitu “Pembuatan Kuih Keria Terbanyak” sebanyak 10,760 biji dan “Replika Konda-Kondi Terbesar”.

Sijil pengiktirafan MBOR itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang menyifatkan pencapaian berkenaan mencerminkan keunikan warisan negeri serta memperkukuh sektor pelancongan berasaskan budaya tempatan.
 
Festival Sungai Melaka 2026 dijadual melabuhkan tirainya menerusi Festival Seni Selat dan Sungai Melaka pada 18 hingga 20 September di Pantai Tanjung Bidara dengan menampilkan aktiviti sukan air seperti jet ski, pertunjukan flyboard, perahu layar dan pengalaman menaiki Melaka Sea Cruise.
 

Must Watch Video

Advertisement