FFC dan TMTG: 'Dua malam tak tidur, risaukan anak bongsu kena tahan' - Ibu Syafik Shukri

Rodziah berkata, selepas menerima berita itu, beliau mengambil air wuduk dan menunaikan solat hajat seterusnya menyerahkan segalanya kepada Allah. - Gambar Astro AWANI
SERI KEMBANGAN: “Dua malam saya tak boleh tidur. Sekejap bangun, fikir macam mana keadaan Syafik di sana.”
Demikian luah ibu kepada wartawan AWANI, Syafik Shukri Abdul Jalil, Rodziah Abdullah, selepas penahanan anaknya oleh tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens To Gaza (FFCxTTMG).
Rodziah dalam nada sebak, berkongsi momen ketika mendapat tahu anak bongsu kesayangannya itu berada dalam salah satu sembilan kapal misi kemanusiaan yang dirampas secara haram oleh Israel pada 10.50 pagi Rabu.
“Lepas dengar berita tu, saya terus hilang selera makan. Risau sangat. Ya Allah, hati ni Tuhan saja yang tahu,” katanya kepada Astro AWANI.Menurutnya, Syafik sempat membuat panggilan video sekitar jam 8.45 pagi Rabu.
“Dia video call makcik dan kakak-kakaknya. Lepas tu dia kata, Ma, ok Ma nak tidur sekejap? Saya kata, pergilah tidur.
"Namun tak lama selepas itu, keluarga dikejutkan dengan berita penahanan Syafik. Kakak dia beritahu, Ma, Syafik dah kena tangkap. Saya kata, eh tak lah, baru tadi dia berborak dengan sama. Tapi bila kakak dia sahkan berita itu, saya terus rasa lemah," katanya.
Rodziah berkata, selepas menerima berita itu, beliau mengambil air wuduk dan menunaikan solat hajat seterusnya menyerahkan segalanya kepada Allah.
Namun kini, beliau bersyukur apabila mendapat tahu anaknya selamat.
“Alhamdulillah, sekarang saya dapat tahu Syafik selamat, saya bersyukur sangat,” katanya.
Misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza telah dipintas tentera Israel pada 10.50 pagi Rabu waktu Malaysia.
MyCARE memaklumkan sembilan kapal termasuk Conscience dan Umm Saad yang dinaiki sembilan aktivis Malaysia telah dipintas rejim Israel.
Wartawan Astro AWANI, Syafik Shukri Abdul Jalil antara delegasi yang menyertai misi tersebut bersama kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami