KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan 'Field ICU' yang dikhaskan bagi merawat pesakit kritikal di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ia berikutan faktor peningkatan kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) COVID-19 di hospital-hospital Pulau Pinang yang telah mencecah lebih daripada 100 peratus.

KKM turut mendapati trend kemasukan pesakit ke ICU di Pulau Pinang meningkat lebih 45 peratus untuk tempoh dua minggu kebelakangan ini dan trend itu dijangka berterusan khususnya apabila wujud kluster-kluster baharu melibatkan rumah jagaan warga emas dan lain-lain.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata pagi tadi beliau berkesempatan mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan untuk sesi 'Dry Run Field ICU' yang akan didirikan di Hospital Kepala Batas.

Selepas selesai sesi berkenaan, beliau berkata Pengarah Perubatan Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM)-Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Mej Jen Datuk Dr Mohammad Amirrudin Hamdan menjalankan satu sesi taklimat sebagai persediaan melancarkan proses pembinaan 'Field ICU'.

Dr Noor Hisham berkata sesi itu turut disertai delegasi KKM daripada Program Perubatan dan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan bagi melancarkan proses pembinaan 'Field ICU' berkenaan.

'Field ICU' yang bakal didirikan di Hospital Kepala Batas akan menggunakan konsep modular yang mampu merawat sehingga 27 pesakit kritikal COVID-19 yang memerlukan bantuan pernafasan serta peralatan 'life support' lain.

"Selain itu, Angkatan Tentera Malaysia juga akan mendirikan makmal modular dan unit radiologi modular bagi memberikan kemudahan perkhidmatan sokongan klinikal kepada pesakit-pesakit kritikal yang ditempatkan di 'Field ICU' ini," katanya di laman Facebook beliau hari ini.

Beliau turut menyampaikan penghargaan serta mengucapkan ribuan terima kasih kepada Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM Leftenan Jeneral Datuk Dr Md Amin Muslan dan seluruh warga Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan atas kerjasama yang diberi kepada KKM untuk membina 'Field ICU' di Hospital Kepala Batas.

"Semoga segala usaha ini dapat membantu Kementerian Kesihatan dalam memastikan rawatan yang terbaik diberikan kepada pesakit-pesakit kritikal COVID-19 di Kepala Batas dan kawasan sekitarnya, seterusnya mengurangkan kadar kematian akibat COVID-19 di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA