PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengekalkan operasi serta kemudahan teknikal di Kompleks FINAS Hulu Kelang meskipun fungsi dasar dan pengurusannya dipindahkan ke Menara FINAS Damansara.
Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac berkata kompleks itu terus beroperasi kerana kemudahannya digunakan secara meluas oleh penggiat industri kreatif selain menempatkan pelbagai aset melibatkan pelaburan besar kerajaan.
“Kalau orang mengatakan kita tutup semua, tidak, kerana bangunan di Hulu Kelang tetap ada memandangkan banyak penggiat industri kreatif menggunakan aset kita di sana dan kerajaan juga telah membuat pelaburan besar terhadap aset berkenaan.
“Kemudahan pentas bunyi, studio adunan audio dan pascaproduksi terus beroperasi di sana, manakala fungsi berkaitan dasar serta pengurusan akan berpindah ke Menara FINAS Damansara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Simbolik Perpindahan Operasi FINAS ke Menara FINAS Damansara di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Hans berkata pemindahan petugas dan jabatan FINAS dari Petaling Jaya ke ibu pejabat baharu itu bermula sejak bulan lepas secara berperingkat dan dijangka selesai pada 1 Ogos ini.
Beliau berkata ibu pejabat baharu setinggi 15 tingkat itu turut dilengkapi dua pentas bunyi dan sebuah panggung wayang, namun aspek teknikal kemudahan berkenaan masih dalam proses dan akan diberi tumpuan selepas pemindahan petugas selesai.
Mengenai tapak FINAS Petaling Jaya, Hans berkata tanah berkenaan terlibat dalam perjanjian pertukaran tanah dengan sebuah syarikat pemaju tempatan yang dibuat kira-kira sedekad lepas.
“Warga FINAS sedih meninggalkan FINAS Petaling Jaya kerana banyak sejarah telah berlaku dan banyak dasar untuk industri kreatif dibina di sini, tetapi kita perlu bergerak kepada wawasan serta hala tuju baharu.
“Kami berharap bangunan baharu itu akan memberikan inspirasi kepada industri kreatif tanah air dan warga FINAS selain membawa tenaga baharu menerusi semangat ‘FINAS 2.0’,” katanya.
-- BERNAMA