TAHUN lepas, Google telah mengumumkan sistem mencari objeknya iaitu Find My Device akan lebih mirip Apple Find My.

Ini kerana Google sedang bersiap sedia menyokong pencarian peranti di luar talian, aksesori audio atau peranti lain yang menggunakan Fast Pair tetapi sambungan telah putus sama seperti Apple Find My.

Tetapi ia ditunda kerana menantikan Apple untuk menyokong pengesanan penjejak objek selain AirTags.

9to5Google melaporkan yang Google mula menghantar emel kepada pengguna bertuah, memberitahu sistem Find My Device baharu akan dilancarkan tidak lama lagi.

Sistem baharu ini akan menggunakan peranti Android yang aktif di sekeliling pengguna sebagai nod pengesanan seperti mana Apple lakukan.



Akan datang, telefon pun boleh dijejak walaupun ia dimatikan. Ini akan bermula dengan Pixel 9 akan datang.

Dengan sistem Find My Device menjadi lebih maju, pengguna akan lebih mudah mencari fon telinga sebelah kiri yang tercicir, kunci kereta dengan penjejak objek yang hilang di sekitar sofa, atau juga telefon Android lain.

Selepas Google melancarkan Quick Share (dulu Nearby Share) sebagai pesaing AirDrop, kini mereka melancarkan Find My Device serba baharu, membuktikan Android juga boleh ada ekosistem seperti Apple. -Amanz