KUCHING: Firefly melancarkan penerbangan terus dari Pulau Pinang ke Kuching bermula hari ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata bermula 25 April ini, kekerapan penerbangan itu akan ditambah kepada dua kali sehari.

Beliau berkata peningkatan penerbangan domestik terus ke Sarawak akan memacu mobiliti dan fleksibiliti yang memudahkan lagi ketibaan pengunjung ke sini, sekali gus membantu negeri ini mencapai sasaran kedatangan 1.2 juta pelancong pada tahun ini.

"Sarawak telah merekodkan ketibaan 229,678 pengunjung bermula Januari hingga Mac lepas, yakni peningkatan 569.25 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas," katanya dan menambah Sarawak juga kini telah meningkatkan jumlah penerbangan domestik kepada 615 seminggu berbanding 576 sebelum ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan ketibaan penerbangan sulung Firely terus dari Pulau Pinang, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, di sini hari ini.

Sementara itu, Malaysia Aviation Group dalam kenyataan hari ini berkata Firely akan beroperasi menggunakan pesawat Boeing 737-800 dari Pulau Pinang ke Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching bermula hari ini.

Menurut kenyataan itu, dengan kembalinya operasi penerbangan Firefly dari hab Pulau Pinang, ia menandakan satu lagi pencapaian penting bagi hala tuju kumpulan itu untuk memacu perjalanan udara dan pemulihan pelancongan domestik.

-- BERNAMA