KUALA LUMPUR: Agensi penarafan Fitch Ratings kekalkan penarafan IDR matawang asing jangka panjang Malaysia pada ‘BBB+’ dengan unjuran stabil.

Menurutnya, Malaysia mempunyai prospek untuk pertumbuhan jangka sederhana yang meluas dan kukuh, disokong lebihan akaun semasa dan asas eksport yang pelbagai.

Ini berbanding hutang awam yang tinggi, punca pendapatan kerajaan yang menurun dan ketidaktentuan politik yang berpanjangan.

Tambahnya ekonomi Malaysia berterusan pulih daripada penguncupan 5.6 peratus pada 2020 akibat pandemik COVID-19.

Jelasnya, ketika ini, Perintah Kawalan Pergerakan sejak awal Jun susulan gelombang ketiga COVID-19 telah memberikan kesan kepada sektor perkhidmatan.

Namun pembuatan dan eksport kekal mendapat manfaat daripada permintaan eksport dari Malaysia.

Fitch Ratings turut mengunjur KDNK Malaysia tumbuh 4.5 peratus pada 2021 dan 6.3 peratus pada 2022, dengan jurang output berkurangan dan vaksinasi yang terus meningkat.

Ini akan membolehkan sektor perkhidmatan untuk mendapat manfaat daripada permintaan terpendam.

Fitch turut menjangka defisit fiscal kerajaan akan meningkat kepada 6.5 peratus tahun ini daripada 6.2 peratus pada 2020 susulan perbelanjaan bantuan dan pendapatan kerajaan yang rendah.

Fitch turut menjangka hutang kerajaan akan naik kepada 78.1 peratus berbanding KDNK pada 2021 berbanding 65.2 peratus pada 2019.

Ini turut mengambil kira jaminan kerajaan atas pinjaman yang dibayar menerusi belanjawan kerajaan dan hutang bersih 1MDB.

Menurut Fitch, ketidaktentuan politik yang berterusan tidak hanya memberikan kesan kepada polisi, namun pelaburan dan jangkaan penambahbaikan standard kerajaan.

Tambahnya, penarafan mungkin disemak turun atau menjadi negatif jika hutang kerajaan meningkat dalam jangka pendek dan kejatuhan dalam standard kerajaan.

Di sebaliknya, penarafan boleh disemak naik jika hutang kerajaan berbanding KDNK menurun dan peningkatan ketelusan dan kawalan ke atas rasuah.