KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil telah menghantar notis tuntutan pada Rabu kepada dua individu termasuk penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani berhubung fitnah kononnya beliau memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang pada 30 Julai lepas.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi berkata notis sama turut dihantar kepada pemilik dan pentadbir Laman Facebook 'N13 Kuang.'

Beliau berkata kenyataan fitnah yang dikeluarkan oleh kedua-dua individu melalui akaun Facebook dan Instagram adalah berniat jahat untuk menjatuhkan nama baik Fahmi seterusnya menggambarkan seolah-olah beliau menderhaka terhadap arahan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan mengadakan ceramah politik di masjid.

Katanya melalui notis itu, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan menuntut antara lain penarikan balik kenyataan fitnah itu dan permohonan maaf secara terbuka daripada kedua-dua individu dalam tempoh 24 jam.

Peguam itu berkata jika kedua-dua individu gagal memenuhi tuntutan tersebut, pihaknya telah diarah memfailkan tuntutan saman fitnah di mahkamah terhadap mereka dengan serta-merta.

Pada Selasa, Fahmi menyanggah dan kecewa dengan fitnah yang dilemparkan kononnya beliau berkempen di masjid serta menegaskan sedia memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Agama Islam Selangor sekiranya diperlukan.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan tidak ada sebarang unsur kempen politik dalam ucapan Fahmi yang dilaporkan berlaku di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang dekat sini pada Ahad lepas.

-- BERNAMA