KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar menegaskan fungsi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah berbeza dengan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Beliau berkata JAKIM berperanan memperkukuh tadbir urus hal ehwal Islam melalui pendekatan rahmah ke arah kesejahteraan ummah manakala misi KPN adalah bagi meningkatkan usaha baharu penyatupaduan untuk membina tapak integrasi dan semangat muhibah dalam kalangan rakyat.

Menurutnya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah diperuntukkan RM1.9 bilion pada tahun ini untuk tujuan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam.

Peruntukan tersebut melibatkan semua agensi di bawah jabatan itu termasuk JAKIM, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).

"Ini adalah komitmen jitu Kerajaan MADANI untuk memperkukuh kedudukan agama Islam yang telah dijamin Perlembagaan Persekutuan dan bermatlamatkan menjulang tinggi nilai agama, kesederhanaan serta saling bertoleransi yang akhirnya memberikan manfaat kepada negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Na'im berkata JAKIM diperuntukkan RM730 juta untuk guru kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA), guru takmir dan imam di seluruh negara manakala RM249 juta diperuntukkan di bawah perbelanjaan mengurus dan RM50 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

"Sejumlah RM150 juta disediakan kepada JAKIM untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan Islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz," katanya.

Pada masa sama, katanya Kerajaan Perpaduan memutuskan untuk mengembalikan semula geran bantuan RM20,000 kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di bawah JAKIM yang diharap memperkukuh peranan sekolah berkenaan.

Semalam, bekas Ahli Parlimen Sungai Benut Mohamed Tawfik Ismail dilaporkan berkata KPN perlu diberikan peruntukan sama atau lebih besar daripada JAKIM kerana peranannya memupuk hubungan dalam kalangan rakyat.

-- BERNAMA