KUALA LUMPUR: Penahanan warga asing di Lebuh Pudu pada minggu lalu bukan sekadar satu lagi berita mengenai operasi penguatkuasaan selepas ianya menjadi peringatan bahawa pematuhan imigresen di Malaysia tidak boleh bergantung kepada serbuan semata-mata.
Profesional dasar awam, Dini Nurhani berkata, penguatkuasaan mungkin dapat mengesan masalah, tetapi pencegahan memastikan sistem kekal teratur selepas dalam konteks ini, Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) wajar diberikan perhatian yang lebih daripada kebiasaannya.
"Pada 13 September, Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Mega memeriksa 2,500 individu yang dikesan merangkumi tinggal lebih masa hingga penggunaan dokumen yang tidak diiktiraf selepas aduan orang awam mengenai premis yang menjalankan aktiviti secara tidak sah serta kehadiran pekerja tanpa dokumen yang sah secara ketara.
"Namun, persoalannya kekal, bagaimana kita boleh mengelakkan masalah ini daripada terus terkumpul sehingga memerlukan penahanan secara besar-besaran, FWCMS menawarkan satu jawapan. Ia bukan sesuatu yang glamor dan sememangnya bukan baharu, tetapi merupakan penyelesaian digital praktikal yang telah lama kita usahakan," katanya
Jawapan bertulis Kementerian Dalam Negeri di Parlimen bertarikh 10 Februari 2026 menerangkan bahawa FWCMS menyokong permohonan, kelulusan, pemantauan dan pengurusan pas kerja secara digital dengan sistem ini menghimpunkan maklumat berkaitan majikan, kuota, saringan kesihatan dan kemasukan pekerja, di samping menyelenggara rekod berpusat yang boleh diaudit.
Jawapan tersebut turut mengenal pasti pengesahan biometrik sebagai langkah perlindungan terhadap penipuan identiti, rekod berganda dan penyalahgunaan dokumen dengan mendigitalkan proses permohonan, semakan biometrik dapat membantu mencegah identiti berganda, jelasnya.
Katanya, papan pemuka boleh menandakan permit yang telah tamat tempoh, manakala notifikasi boleh dihantar kepada majikan sebelum tempoh permit berakhir dan bertukar menjadi pelanggaran atau ringkasnya, FWCMS direka untuk menjadikan pematuhan bukan sekadar soal mengesan kesilapan, tetapi mencegahnya daripada berlaku.
"Ambil contoh modul Bio-Medical Verification. Modul ini memastikan pekerja yang menjalani saringan kesihatan adalah individu yang sama yang berlepas dari negara sumber dan tiba di Malaysia, kesinambungan ini penting apabila dokumentasi yang tidak boleh dipercayai menjadi salah satu ruang kelemahan terbesar," tambahnya.
Bagi pembaharuan permit ujarnya, khususnya dalam urusan pembantu rumah asing, majikan kini boleh mengemukakan permohonan PLKS secara dalam talian sehingga 90 hari sebelum tarikh tamat tempoh, dengan ePASS menggantikan sistem pelekat lama.
"Ini bukanlah pembaharuan yang kelihatan besar, tetapi ia telah membantu mengurangkan kerenah birokrasi dan memberikan majikan lebih sedikit alasan untuk mengabaikan tanggungjawab mereka.
"Menyediakan proses pembaharuan secara dalam talian memberi peluang kepada majikan untuk menguruskan dokumentasi sebelum tarikh akhir semakin hampir, menyediakan maklumat yang diperlukan dan bertindak secara bertanggungjawab, bukannya hanya bertindak selepas timbul masalah.
"Dengan kata lain, pendigitalan bukan sahaja memudahkan urusan dokumentasi, malah menjadikan akauntabiliti majikan lebih mudah dilaksanakan," ujarnya.
Katanya lagi, FWCMS juga mempunyai fungsi yang boleh menyokong perancangan penguatkuasaan yang lebih bersasar.
Jelas Dini Nurhani, Modul eEnforcement diterangkan sebagai menyediakan maklumat awal kepada Jabatan Imigresen mengenai permit kerja yang telah tamat tempoh.
"Fungsi notifikasi dan pelaporan pula membolehkan makluman dihantar kepada pihak berkepentingan melalui SMS, e-mel atau aplikasi mudah alih, manakala laporan dipaparkan melalui papan pemuka.
"Kemudahan ini menyediakan kaedah untuk menukar maklumat pentadbiran kepada tindakan susulan yang tepat pada masanya.
"Namun begitu, ukuran sebenar kejayaan bergantung kepada bagaimana isyarat tersebut digunakan," katanya.
Jika rekod tidak dikemas kini ujarnya, amaran diabaikan atau pegawai lambat mengambil tindakan, sistem tersebut tidak lebih daripada sekadar tempat menyimpan rekod.
"Data dan maklumat yang tepat hanya bernilai apabila ia digunakan untuk membuat keputusan serta memberi tumpuan kepada kes yang benar-benar memerlukan penelitian.
"Akauntabiliti majikan merupakan satu lagi aspek penting. Rekod digital perlu diselenggara dengan maklumat yang tepat supaya pematuhan lebih mudah dipantau dan lebih sukar untuk dielakkan.
"Rekod digital memberikan asas yang lebih jelas kepada syarikat dan agensi untuk menyemak perkembangan sesuatu permohonan serta maklumat yang dikemukakan," tegasnya.
Katanya, ia juga menyokong penelitian terhadap perkara-perkara yang masih belum diselesaikan.
Tambahnya, pengurusan proses keluar negara turut beralih kepada sistem digital.
"Sejak September 2025, notis Jabatan Imigresen menyatakan bahawa permohonan Check Out Memo bagi pemegang PLKS perlu dikemukakan secara dalam talian melalui sama ada MyPASS@JIM atau FWCMS.
"Notis tersebut menyatakan bahawa permohonan secara manual di kaunter Imigresen tidak lagi diterima.
"Ini melengkapkan keseluruhan proses apabila kemasukan, tempoh tinggal dan keluar negara kini menjadi sebahagian daripada satu rangka kerja pematuhan yang saling berkaitan," katanya.
Dalam pada itu jelas Dini Nurhani, pekerja sendiri turut mendapat manfaat apabila dokumentasi lebih jelas dan mudah diakses.
"Mereka boleh menjejaki permohonan, mengemukakan kebimbangan dan mengelakkan diri daripada terperangkap akibat kesilapan pentadbiran," ujarnya.
Bagaimanapun katanya, pelaksanaan yang berkesan perlu turut menyediakan bantuan praktikal bagi menyelesaikan ketidakselarasan rekod serta saluran yang jelas untuk melaporkan masalah berkaitan pekerjaan atau proses pengambilan pekerja.
"Kekuatan utama FWCMS terletak pada kesannya dalam urusan seharian, pengurangan permit yang tamat tempoh, proses pembaharuan yang lebih pantas, rekod yang lebih teratur serta sistem yang lebih telus dan mampu memastikan pihak berkepentingan bertanggungjawab.
"Perkara-perkara kecil inilah yang, apabila dikumpulkan, dapat menyumbang kepada pasaran tenaga kerja yang lebih teratur.
"Operasi di Lebuh Pudu memberikan alasan yang jelas untuk memperkukuh pendekatan berasaskan pencegahan ini," katanya.
Dengan rekod yang tepat jelasnya, penglibatan aktif majikan dan tindakan susulan yang diselaraskan, FWCMS boleh menjadi sebahagian penting daripada usaha Malaysia menangani cabaran pematuhan pekerja asing, di samping menyokong penguatkuasaan yang berkesan serta sistem pekerjaan yang sah dan lebih teratur.