KUALA LUMPUR: Selepas merasai sendiri pengalaman bermain footgolf, ternyata ia sukan yang mudah dan santai serta menyeronokkan bersama rakan-rakan sambil menyapu keringat setelah menguji 18 lubang footgolf di padang golf.

Footgolf menggabungkan dua sukan paling popular di dunia iaitu bola sepak dan golf, dengan kaki berfungsi sebagai kayu golf untuk menendang bola sepak saiz lima ke lubang yang ditetapkan dalam beberapa cubaan.

Ketua Program Pembangunan Footgolf Dynamic Eagle (DEFG) Muhammad Rozaimi Abdul Kadir Jelani berkata untuk bermain, seseorang tidak perlu menjadi pemain bola sepak terlatih, namun kemahiran itu pastinya membantu membuat tendangan mengagumkan.

Mengenai pakaian, beliau berkata pemain perlu mengenakan pakaian sukan untuk memudahkan pergerakan dan menghormati kod pakaian yang ditetapkan beberapa kelab golf, manakala hanya kasut futsal atau kasut yang tidak merosakkan green (kawasan hijau) dan fairway (lintasan) yang dibenarkan.

"Sebagai permulaan, pemakaian kasut futsal, turf atau kasut sukan tiada masalah, tetapi dinasihatkan menggunakan kasut turf untuk keselamatan terutama jika hujan dan ketika menyertai kejohanan, perlu ikut peraturan menggunakan kasut turf dan baju berkolar," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Muhammad Rozaimi berkata footgolf dimainkan oleh enam orang dalam satu pasukan bagi melengkapkan satu pertandingan, dan setiap bola kemudian ditendang ke dalam lubang di hujung padang.

Beliau berkata tee off (pukul mula) ialah titik permulaan yang penting dengan tee off wanita lebih dekat kepada lubang berbanding peserta lelaki, sama seperti peraturan permainan golf.

Istilah yang digunakan dalam sukan golf katanya, turut digunakan dalam footgolf seperti birdie - satu pukulan di bawah par, eagle - dua pukulan di bawah par dan bogey - satu pukulan di atas par.

"Dari segi kos, ia dibahagi sama rata antara pemain yang bernilai kurang RM40, dengan pilihan menyewa bola sepak saiz lima dengan harga RM10 dan loker untuk menyimpan barang berharga ketika bermain.

"Bayangkan ada enam orang dalam satu perlawanan, jadi jumlah kos bagi satu pasukan ialah RM200. Seorang pemain akan mengeluarkan RM30 bagi satu permainan yang berlangsung kira-kira tiga jam," katanya.

Muhammad Rozaimi berkata The Club di Bukit Utama, Damansara menjanjikan lokasi menarik untuk pemain footgolf di Lembah Klang, selain di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Menurut beliau, padang golf di Bukit Jelutong dibuka pada waktu siang, manakala The Club menawarkan permainan footgolf pada waktu malam dengan disimbahi cahaya daripada lampu limpah.

Lokasi padang footgolf yang lain di negara ini adalah di Kuala Ibai, Terengganu; Desaru, Johor dan Sungai Petani, Kedah.

Muhammad Rozaimi berkata di Asia, Jepun ialah negara yang memulakan footgolf dan sukan berkenaan semakin mendapat tempat di Malaysia semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

Beliau berkata tahun lepas, Malaysia menyertai World Cup USA di Orlando, Amerika Syarikat dan berada pada kedudukan nombor lapan dunia daripada 42 pasukan.

"Program pembangunan tidak banyak, dan promosi sukan ini tidak menyeluruh, hanya yang cakna mengenai footgolf yang tahu mengenai sukan ini," katanya.

-- BERNAMA