KUALA LUMPUR: Seramai lima individu telah dirakam keterangan berhubung kes pergaduhan di sebuah kedai makan di Jalan Alor, Bukit Bintang di sini, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, siasatan sebelum ini dijalankan berdasarkan satu video tular dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook yang memaparkan kejadian pergaduhan itu.

"Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Dang Wangi menjalankan siasatan berkaitan kejadian di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Seramai lima individu dipercayai terlibat dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 pagi itu dirakam percakapan," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Menurut Noor Dellhan, kertas siasatan berkaitan kes itu sedang dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Pada Jumaat, satu video tular di Facebook memaparkan pergaduhan melibatkan sekumpulan individu di sebuah kedai makan. -Sinar Harian