Seorang lelaki warganegara Singapura terpaksa berteduh di bawah jambatan dalam longkang sedalam lima meter selama 15 jam sebelum diselamatkan anggota bomba.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan ll Khairul Azhar Abdul Aziz berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.48 petang Rabu dan bergegas ke Jalan Wong Ah Fook di sini bersama 10 anggota dengan sebuah jentera dan EMRS.

Setibanya di lokasi, bomba mendapati mangsa yang berumur dalam lingkungan 40-an, yang cedera di bahagian kaki, berada di dalam longkang terbabit.

"Terdapat seorang lelaki dewasa terjatuh di dalam longkang yang berkedalaman 5 meter sejak 12 tengah malam semalam.

"Mangsa terjatuh akibat tergelincir semasa hendak mengambil beg kantung yang berisi dokumen dan telefon bimbit yang terjatuh di dalam longkang.

"Namun mangsa tidak berjaya menyelamatkan beg kantung tersebut dan mangsa yang cedera di bahagian kaki hanya duduk di bawah jambatan berhampiran hingga mengambil keputusan untuk meminta bantuan orang yang lalu di kawasan berhampiran," katanya ketika dihubungi pada Rabu.


Mangsa dibawa naik oleh anggota bomba menggunakan tangga jentera. Foto ihsan JBPM

Jelas Khairul Azhar, operasi menaikkan mangsa adalah dengan menggunakan tangga jentera.

"Mangsa sendiri meminta pihak bomba untuk menghantar beliau ke Balai Polis di Jalan Wong Ah Fook kerana dokumen peribadi termasuk pasport dan telefon bimbit telah dihanyutkan air semasa hujan lebat pagi tadi," katanya.

Foto ihsan JBPM