MELAKA: Seorang lelaki yang memecah masuk Pejabat Pos Malaysia Cawangan Selandar bertindak membakar meja serta kerusi di bahagian kaunter perkhidmatan kerana gagal mendapatkan barang berharga.

Dalam kejadian kira-kira 9.15 malam, suspek berusia 43 tahun yang juga seorang pekerja kilang telah memecah masuk ke dalam pejabat pos dan kejadian disedari pengurus cawangan yang menerima isyarat penggera di telefon.

Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Mohd Shukri Kaman berkata laporan kejadian dibuat pengurus cawangan pejabat pos itu kira-kira 11 malam sebelum polis berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Pekan Selandar malam tadi.

"Kejadian disedari pengadu setelah menerima isyarat penggera di telefon dan ternampak kelibat orang di dalam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di Pejabat Pos Selandar.

"Pengadu kemudiannya mendapatkan bantuan daripada pihak polis dan pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati kerusi dan meja di bahagian kaunter perkhidmatan pejabat pos telah terbakar sebelum menelefon bomba untuk memadam kebakaran itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shukri berkata polis turut merampas pakaian serta peralatan seperti kuku kambing dan pemetik api dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati cermin serta gril tingkap belakang premis itu telah diumpil dan pagar bahagian belakang bangunan itu turut dipotong, dipercayai untuk memudahkan suspek memasuki pejabat pos itu.

"Suspek mengaku membakar kerusi dan meja kaunter perkhidmatan pejabat pos itu kerana gagal mendapatkan barang berharga," katanya.

Menurut Mohd Sukri, semakan lanjut mendapati suspek adalah pesalah di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan diletakkan di bawah tempoh sekatan selama dua tahun di Selandar selain turut mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan empat kes dadah dan tujuh kes jenayah.

Beliau berkata suspek direman selama empat hari bermula hari ini di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh bangunan yang membawa hukuman hingga tiga tahun penjara dan denda hingga RM5,000 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api yang membawa hukuman hingga 14 tahun penjara dan denda.

-- BERNAMA