Gaji pekerja OKU perlu setara dengan insan normal - Senator

Senator Isaiah Jacob berkata beliau menerima keluhan daripada golongan itu yang menyatakan gaji sebanyak RM1,200 sebulan tidak memadai untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara hari ini meminta supaya isu pembayaran gaji yang rendah dalam kalangan pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) diberikan perhatian sewajarnya kerana golongan berkenaan turut berhadapan kos sara hidup dan mempunyai tanggungan seperti insan normal lain.
Senator Isaiah Jacob berkata beliau menerima keluhan daripada golongan itu yang menyatakan gaji sebanyak RM1,200 sebulan tidak memadai untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.
"Dengan bayaran RM1,200, adakah mampu mereka ini terutama yang sudah berkahwin dan ada anak hendak membeli barangan dan sebagainya?
"Saya mohon kerajaan dan Kementerian Kewangan mengambil serius perkara ini sebab ia penting demi kelangsungan hidup," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2026) yang memasuki hari kelima di Dewan Negara hari ini.
Beliau turut meminta agar kerajaan meningkatkan bayaran gaji petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) supaya selaras dengan gaji minimum semasa memandangkan mereka bekerja sepenuh masa menjaga anak-anak OKU, menguruskan dokumentasi, melaksanakan latihan pemulihan dan membersihkan premis PPDK.
Langkah itu, katanya selaras dengan kenyataan Kementerian Sumber Manusia sebelum ini bahawa penyelia dan petugas PPDK adalah pekerja yang tertakluk di bawah Akta Kerja 1955.
Sementara itu, Senator Norhasmimi Abdul Ghani mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan subsidi berdasarkan lokasi bagi memastikan penduduk pedalaman mendapat akses setara kepada petrol bersubsidi tanpa terpaksa menanggung kos tambahan atau bergantung kepada penjual tidak berlesen.
Beliau berkata meskipun subsidi petrol bersasar disambut baik dan berjaya mengurangkan ketirisan serta memastikan bantuan sampai kepada golongan layak, masih terdapat kelompok yang tercicir terutama di kawasan pedalaman perkampungan Orang Asli dan Felda yang jauh dari stesen minyak.
"Jarak perjalanan jauh ke pekan atau bandar terdekat untuk mendapatkan petrol bersubsidi menyebabkan mereka menanggung kos tambahan dan akhirnya terpaksa membeli petrol pada harga tanpa subsidi daripada penjual tidak berlesen," katanya.
Beliau turut mencadangkan perluasan penyediaan stesen pengisian komuniti termasuk menambah jumlah stesen minyak bergerak serta bekerjasama dengan koperasi kampung, Felda atau pusat komuniti bagi mewujudkan model pengedaran mikro yang terkawal untuk mengelak ketirisan.
"Dengan pendekatan ini, penduduk luar bandar mendapat akses setara kepada subsidi dan tidaklah perlu bergantung kepada penjual tidak sah. Ia sejajar dengan prinsip keadilan sosial serta memastikan tiada kelompok tercicir daripada manfaat reformasi subsidi negara," katanya.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


