Skip to main content

Malaysia

Gaji RM2,000: Risiko jurang upah mengecil perlu dinilai - Menteri Ekonomi

Timbalan Menteri Ekonomi, Mohd Shahar Abdullah menyampaikan ucapan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, sempena Sambutan Hari Statistik Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di Putrajaya, hari ini. - Astro AWANI
Timbalan Menteri Ekonomi, Mohd Shahar Abdullah menyampaikan ucapan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, sempena Sambutan Hari Statistik Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di Putrajaya, hari ini. - Astro AWANI

Advertisement

PUTRAJAYA: Kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 mulai Jun 2027 perlu mengambil kira risiko jurang upah antara pekerja baharu dan berpengalaman semakin mengecil.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, keadaan itu dikenali sebagai wage compression, apabila perbezaan ganjaran antara kedua-dua kumpulan pekerja semakin kecil.

“Menaikkan lantai gaji sahaja tidak mencukupi. Kita perlu menilai risiko pemampatan jurang upah atau wage compression," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Ekonomi, Mohd Shahar Abdullah sempena Sambutan Hari Statistik Negara 2026 di sini, hari ini.

Menurutnya, penilaian itu perlu mengambil kira kemahiran, produktiviti dan kemampuan majikan, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Katanya, matlamat kerajaan bukan sekadar memastikan gaji permulaan lebih baik, tetapi juga perkembangan gaji yang munasabah sepanjang kerjaya.

Dalam masa sama, beliau berkata, Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) penting bagi menilai kecukupan pendapatan isi rumah berdasarkan lokasi, saiz keluarga dan kos kehidupan.

Jelasnya, PAKW bukan penanda aras gaji minimum, sebaliknya boleh digabungkan dengan data gaji dan produktiviti bagi membantu kerajaan mengenal pasti jurang pendapatan dengan keperluan hidup.

Belanjawan 2027 sebelum ini mengumumkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000, dengan pengecualian kepada PMKS yang mencatat jualan di bawah RM50 juta.

Must Watch Video

Advertisement