KUALA LUMPUR: GALERI PETRONAS membuka lembaran baharu dengan berpindah ke Ombak KLCC, sekali gus terus memperkasakan seni kontemporari melalui pameran dan pengalaman kebudayaan baharu, menjelang pembukaan sepenuhnya kepada pengunjung pada akhir 2027.
PETRONAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa sebagai penyewa utama, GALERI PETRONAS akan menawarkan pengalaman “First Glimpse”, yang membolehkan pengunjung untuk menyaksikan secara eksklusif lokasi baharunya selain menandakan bermulanya pembukaan secara berperingkat.
Langkah itu akan membuka lebih banyak peluang kerjasama, pertukaran kreatif dan penglibatan komuniti, bertujuan memperkukuh ekosistem seni tempatan selain menyokong aspirasi pembangunan negara yang lebih meluas menerusi seni dan budaya.
“Ruang baharu itu membolehkan orang ramai melihat Koleksi Seni PETRONAS, iaitu antara koleksi seni korporat terpenting negara, yang dikumpulkan sejak 1993, di samping menyumbang kepada pembangunan destinasi seni yang lebih meriah di kawasan KLCC dan menawarkan manfaat berpanjangan kepada pengunjung,” menurut kenyataan itu.
Naib Presiden Hubungan Strategik dan Komunikasi Kumpulan PETRONAS Norafizal Mat Saad berkata perpindahan itu menandakan satu lagi pencapaian baharu bagi GALERI PETRONAS, dan mencerminkan komitmen berterusan untuk menjadikan seni kontemporari lebih mudah diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat.
“Di lokasi baharu ini, kami berharap dapat mewujudkan persekitaran yang memberikan inspirasi, menghubungkan seni dengan masyarakat, mencetuskan perbualan dan terus membentuk perspektif baharu untuk generasi akan datang,” katanya.
Ditubuhkan pada 1992, GALERI PETRONAS berfungsi sebagai platform untuk mempromosi, mengembangkan dan memelihara seni kontemporari Malaysia, selain menyediakan ruang bertaraf dunia untuk artis tempatan dan antarabangsa mempamerkan karya, menggalakkan pertukaran kreatif dan mencetuskan wacana seni.
Sepanjang lebih tiga dekad, galeri itu telah menerima hampir dua juta pengunjung menerusi pameran dan program yang dianjurkan untuk orang ramai.
Sebelum ini galeri itu beroperasi di Suria KLCC setakat akhir Julai, dan perpindahan itu menyaksikan ia komited untuk menjadikan seni lebih mudah diakses, menarik dan inklusif, selain terus memperjuangkan ekspresi seni menerusi pelbagai program.
-- BERNAMA