Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat GoPro, Nick Woodman mengumumkan hala tuju syarikat kamera itu yang semakin mendapat tempat di seluruh dunia.

Kamera dengan gambaran realiti maya serta teknologi dron adalah antara taruhan terbaru GoPro.

Pada persidangan media dan teknologi Recode yang berlangsung semalam, Nick memperkenalkan Six-Camera Spherical Array.

Kamera istimewa yang kelihatan seperti bola itu memuatkan enam kamera GoPro Hero4.

Gambar dan video yang dirakam boleh ditukarkan menjadi gambaran realiti maya melalui teknologi dari perisian Kolor.

gopro
Nick Woodman menerangkan produk terbaru syarikatnya kepada hos Kara Swisher di persidangan Recode. Gambar - Twitter Recode

“Ia merupakan satu perkara yang menakjubkan apabila berupaya melihat dunia dari perspektif yang baru,” ujar Nick apabila ditanya hos, Kara Swisher.

Kolaborasi ini menjadi nyata selepas GoPro mengambil alih pengurusan syarikat Kolor pada April lalu.

6 kamera bersusunan sferikal itu bakal menemui pasaran pada penghujung tahun ini.

Nick turut menyatakan bahawa GoPro juga sedang mengusahakan teknologi dron, yang bakal dikeluarkan sekitar pertengahan tahun 2016.

“Apa yang dikecapi menerusi lensa kami, turut dilihat sebagai satu peluang yang luas di pasaran dunia. Sememangnya kami teruja dengan rancangan terbaru ini,” tambahnya.