Masalah gangguan bekalan air yang sering berlaku setiap kali Hari Raya Aidilfitri dijangka dapat diminimumkan apabila pakej loji air dalam Rancangan Bekalan Air Kuala Terengganu Utara siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman berkata projek itu melibatkan pemasangan empat loji yang setiap satunya berkapasiti satu juta liter padu setiap hari.

"Setakat ini, satu loji sudah siap di Pulau Musang, Kuala Terengganu manakala tiga lagi masih dalam proses pemasangan.

"Jadi, ia dapat mengurangkan tekanan kepada sistem agihan bekalan air yang kebanyakannya masih menggunakan perpaipan daripada jenis asbestos," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata jika projek itu siap sepenuhnya, masalah kritikal yang berkaitan tekanan air rendah di kawasan Kuala Terengganu Utara akan dapat diatasi sepenuhnya.

"Melalui projek itu, bekalan air dibawa dengan kontena sebelum disambung dengan muka sauk dan tangki air sedia ada.

"Itu sebahagian yang dipanggil Rancangan Bekalan Air Kuala Terengganu Utara yang telah dipersetujui kerajaan negeri," katanya.

Orang ramai juga diharap dapat menggunakan air secara berhemah kerana penggunaan air secara mendadak akan berlaku setiap kali musim perayaan, katanya.

-- BERNAMA