IPOH: Lembaga Air Perak (LAP) menjangkakan masalah bekalan air yang menjejaskan penduduk di Daerah Manjung dan dan Perak Tengah akan pulih menjelang pagi esok.

Pengurus Besar Lembaga Air Perak Datuk Ishak Abd Rahman berkata jangkaan itu bergantung kepada keadaan cuaca.

"Pihak kami sedang menyediakan penyambungan paip yang putus. Setakat ini belum siap lagi dan masih dalam proses penyambungan paip baharu memandangkan paip yang putus perlu diganti.

Jangkaan selewat-lewatnya pagi esok jika cuaca baik dan tidak hujan. Sekitar pukul 5 hingga 6 pagi boleh siap dan penduduk yang terjejas akan menerima bekalan air secara berperingkat," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata pihaknya masih dalam proses memenuhkan Loji Rawatan Air (LRA) Teluk Kepayang di Bota.

"Kita sedang dalam proses penuhkan loji tersebut. Sekarang kapasiti air mencecah 40 peratus namun masih belum penuh.

Sesetengah bahagian di daerah yang terkesan mendapat bekalan air yang sikit memandangkan tekanan masih rendah," katanya.

Dilaporkan semalam, sebanyak 79,360 akaun pengguna di Daerah Manjung dan Perak Tengah mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak tengah hari semalam akibat paip air mentah bocor di muka sauk LRA.

Antara kawasan yang terjejas di Daerah Manjung ialah Ayer Tawar, Sitiawan, Seri Manjung, Lekir ke Kayan, Pangkor dan Lumut manakala di Daerah Perak Tengah pula melibatkan seluruh kawasan Seberang Perak, Changkat Lada, Kampung Gajah, Bukit Chawi, Simpang Ranggam dan Hujung Rintis.

Kerja-kerja pemasangan cerucuk bagi mengawal pergerakan tanah telah siap pukul 5 pagi tadi dan bantuan bekalan di kawasan gangguan merangkumi 48 tangki statik, 30 lori tangki terdiri daripada 11 lori LAP dan enam buah lori jumbo swasta manakala 13 lori tangki dari negeri-negeri lain termasuk empat dari Selangor.

Masalah bekalan air itu turut menarik perhatian ramai pihak termasuk Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Ketua UMNO Bahagian Lumut.

Zambry menerusi laman Facebooknya memaklumkan beliau telah meminta pegawainya dan barisan kepimpinan UMNO Bahagian Lumut dan UMNO di peringkat cawangan untuk memberi bantuan dari segenap sudut bagi memastikan setiap yang terjejas dapat dibantu.

"Saya doakan mereka yang diuji dalam bulan (Ramadan) yang mulia ini dapat terus bersabar dan insya-Allah masalah ini diharap segera diselesaikan. Pasti ada hikmah lebih besar Allah hendak beri," katanya.

-- BERNAMA