Skip to main content

Malaysia

Gangguan jerebu, abu gunung berapi Indonesia, operasi LTAPP kekal lancar

81636524150_LTAPP.jpg
Pihak pengurusan LTAPP memaklumkan kepada kerajaan negeri keadaan jerebu tidak menjejaskan operasi penerbangan di lapangan terbang berkenaan. - Gambar fail
Advertisement

GEORGE TOWN: Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kekal lancar meskipun jerebu melanda Pulau Pinang dan beberapa kawasan lain di Malaysia, dengan penerbangan berlepas dan mendarat setakat ini tidak terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata pihak pengurusan lapangan terbang telah memaklumkan kepada kerajaan negeri keadaan jerebu tidak menjejaskan operasi penerbangan di lapangan terbang berkenaan.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri akan terus memantau keadaan dengan teliti dan sentiasa berhubung dengan pihak lapangan terbang serta syarikat penerbangan bagi mengambil tindakan sewajarnya, sekali gus meminimumkan kesan jerebu serta insiden penerbangan yang tidak dijangka terhadap pelawat ke Pulau Pinang dan industri pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai wakil kerajaan negeri dan industri pelancongan dalam mesyuarat dengan Pengurus Kanan LTAPP yang baharu Ahmad Fikri Samsudin semalam, dengan tumpuan kepada operasi lapangan terbang, kapasiti, pembangunan masa hadapan serta peluasan rangkaian penerbangan terus antarabangsa.

Sementara itu, Wong turut memaklumkan tiada kes penumpang Indonesia terkandas dalam jumlah besar di LTAPP susulan pembatalan beberapa penerbangan laluan Pulau Pinang-Jakarta akibat abu gunung berapi daripada letusan Gunung Anak Krakatau.

Beliau berkata syarikat penerbangan yang terjejas termasuk AirAsia, TransNusa dan Batik Air telah memaklumkan kepada penumpang mengenai pembatalan tersebut menerusi e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), dan saluran komunikasi lain berikutan penutupan sementara operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Seokarno-Hatta, Jakarta, Indonesia akibat abu gunung berapi. 

Gunung Anak Krakatau meletus tiga kali pada pagi Selasa ketika pihak berkuasa Indonesia terus memantau aktiviti gunung berapi itu dan kini kekal pada Tahap III atau siaga (amaran), iaitu tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi empat peringkat di Indonesia.

Dalam pada itu, Wong berkata kerajaan negeri turut membuat persediaan bagi dua laluan penerbangan terus antarabangsa baharu yang dijadualkan mula beroperasi pada Oktober.

Beliau berkata Hainan Airlines dijadualkan memulakan perkhidmatan penerbangan terus antara Haikou, Hainan dan Pulau Pinang pada 11 Okt, manakala Batik Air dijadualkan memulakan perkhidmatan penerbangan terus antara Batam dan Pulau Pinang pada 18 Okt.

Beliau berkata kerajaan negeri sejak beberapa tahun kebelakangan ini giat memperkukuh dan memperluas rangkaian penerbangan antarabangsa dengan mempromosikan hubungan udara terus antara Pulau Pinang dan bandar utama antarabangsa, yang kini menunjukkan kesan positif apabila jumlah penumpang antarabangsa terus meningkat.

“LTAPP merekodkan 2.64 juta pergerakan penumpang antarabangsa dari Januari hingga Julai tahun ini, berbanding 2.38 juta dalam tempoh sama tahun lepas. Ini merupakan peningkatan sebanyak 264,980 pergerakan penumpang atau 11.13 peratus,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement