BUTTERWORTH: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyeru golongan pelajar supaya mengenali batas diri, berani berkata tidak dan tampil mendapatkan bantuan sekiranya berdepan gangguan seksual atau keganasan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata kesedaran itu penting bagi memastikan sekolah kekal sebagai persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak dan remaja.
Beliau berkata selain mangsa tampil mendapatkan bantuan, rakan-rakan dan ahli keluarga juga perlu memainkan peranan dengan memberikan sokongan sekiranya melihat perubahan tingkah laku atau keadaan yang mencurigakan dalam kalangan individu terdekat.
“Kalau mereka rasa mereka tidak boleh terima, mereka mesti berani berkata tidak. Kita juga mahu beritahu apabila seseorang menghadapi gangguan seksual atau keganasan, bagaimana mereka boleh mendapatkan bantuan.
“Ini bukan satu kes atau keadaan yang memalukan dan mereka mesti berani tampil serta mencari saluran bantuan,” katanya ketika ditemui selepas Program Toleransi Sifar Keganasan: Respect the Boundaries di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling di sini hari ini.
Lim berkata isu buli, gangguan seksual dan keganasan memerlukan pendekatan merentas kementerian, termasuk aspek advokasi, pencegahan, kesedaran dan kaunseling.
Beliau berkata KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mempunyai kaunselor profesional yang boleh membantu pihak sekolah sekiranya diperlukan.
Dalam pada itu, Lim memaklumkan sebanyak 142 aduan telah difailkan di Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) sehingga 20 Sept lepas, dengan 97 daripadanya berjaya diselesaikan.
Beliau berkata TAGS yang diwujudkan di bawah Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) menyediakan saluran alternatif kepada individu yang mengalami gangguan seksual untuk mendapatkan penyelesaian secara lebih mudah, cepat dan pada kos berpatutan.
Sementara itu, Lim berkata peningkatan jumlah kes gangguan seksual yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu dilihat dari sudut kesedaran dan keberanian orang ramai untuk tampil mendapatkan bantuan.
Berdasarkan statistik PDRM, sebanyak 477 kes gangguan seksual direkodkan pada 2022, meningkat kepada 522 kes (2023), 788 kes (2024) dan 1,038 kes (2025) manakala 388 kes dilaporkan sehingga 31 Mei 2026, termasuk 29 kes di Pulau Pinang.
-- BERNAMA