MELAKA: Garis panduan Penggunaan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) Generatif (KBG) dilihat semakin memberi kesan positif dalam membantu institusi pengajian tinggi (IPT) mengurus penggunaan teknologi itu serta menangani isu salah guna yang melibatkan integriti akademik.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim berkata menerusi garis panduan itu setiap universiti telah membangunkan panduan serta prosedur operasi standard (SOP) sendiri berasaskan kerangka yang disediakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan penggunaan AI generatif mematuhi etika akademik.
"Garis panduan ini telah kita keluarkan sejak 2024 dan semua universiti telah menyahutnya dengan membangunkan garis panduan masing-masing berdasarkan kerangka yang disediakan KPT dan setakat ini kita dapati ia ada keberkesanannya.
"Di setiap universiti kini sudah ada cara untuk mengendalikan kes yang melibatkan salah guna AI, cara respons, prosedur operasi standard (SOP) dan kaedah untuk menanganinya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Apresiasi Pendidikan Tinggi di Pusat Perdagangan Antaranbangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Adam Adli berkata walaupun kes penyalahgunaan masih berlaku namun sekurang-kurangnya dengan adanya garis panduan tersebut pihak universiti tahu bagaimana hendak mengendalikannya dan ia menjadi satu ketetapan dalam kalangan pelajar serta pensyarah.
Katanya, antara prinsip utama garis panduan itu ialah pelajar diwajibkan mengisytiharkan penggunaan AI dalam tugasan akademik bagi memastikan tahap penggunaannya dapat dikenal pasti dan dinilai di samping perlu mengamalkan kaedah penyelidikan dan rujukan akademik seperti biasa serta tidak bergantung sepenuhnya kepada kandungan yang dijana AI.
“Penggunaan AI generatif untuk menghasilkan tugasan seperti esei atau jurnal tanpa mematuhi etika akademik boleh dianggap sebagai pelanggaran integriti akademik, selain berisiko menyebabkan tindakan disiplin termasuk pembatalan kelayakan akademik,” katanya.
Beliau berkata KPT akan terus memantau pelaksanaan garis panduan itu bagi memastikan penggunaannya di IPT dapat dimanfaatkan secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan nilai integriti dan kualiti pendidikan tinggi negara.
Terdahulu pada majlis tersebut seramai empat pelajar cemerlang SPM menerima sumbangan berbentuk komputer riba dan 100 mahasiswa menerima tablet Kasih SISWA sebagai usaha kerajaan memberi kemudahan dan meningkatkan kesejahteraan hidup pelajar.
Bantuan pendidikan di bawah inisiatif Sejahtera MADANI itu adalah bagi menyantuni Ketua Isi Rumah dan Ahli Isi Rumah dalam keluarga eKasih di negeri Melaka yang memperoleh kejayaan cemerlang dalam SPM bagi tahun 2025 dan pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
-- BERNAMA