Lebih 40 wakil komuniti Rohingya di Eropah berhimpun di Oslo, Norway bagi membincangkan isu terkini membabitkan kaum minoriti yang tidak diiktiraf di Myanmar.

Antara lain, Persidangan Majlis Rohingya Eropah (ERC) Mengenai Etnik, Identiti dan Hak Asasi Rohingya di Myanmar itu menjadi medan pertemuan bagi wakil-wakil Rohingya di negara ketiga membangkitkan masalah dan mencari jalan penyelesaian kepada isu Rohingya di Malaysia, Thailand dan Bangladesh.

“Walaupun Rohingya di negara ketiga amnya dan Eropah khususnya tidak berdepan masalah, tetapi ada sesuatu perlu dilakukan oleh komuniti ini untuk membantu Rohingya yang masih dibelenggu masalah hak asasi, pelarian dan kemiskinan di Thailand, Malaysia dan Bangladesh, tidak terkecuali di Arab Saudi,’’ kata Pengerusi ERC, Khairul Amin semasa merasmikan persidangan tahunan itu.

Persidangan dua hari sehingga 8 Februari itu dihadiri oleh mereka yang bergiat aktif dalam perjuangan hak asasi Rohingya seperti Dr. Nora E. Rowley, doktor dan aktivis Burma Human Rights, pelajar undang-undang dan puluhan warga Rohingya yang mendapat status pencari suaka di beberapa negara Eropah.

Rohingya
Lebih 40 wakil komuniti Rohingya di Eropah berhimpun di Oslo, Norway bagi membincangkan isu terkini membabitkan minoriti tidak diiktiraf di Myanmar itu. - Gambar Zaki Jilan

Beberapa kertas kerja turut dibentangkan di persidangan kali kedua diadakan oleh ERC. Antaranya, oleh warga Rohingya yang juga Profesor di Universiti Pennsylvania, Profesor Dr. Wakkar Uddin, Dr. Ambia Parveen Haroon dan Editor Astro AWANI yang juga calon PhD Institut Asia Eropah (AEI), Universiti Malaya (UM), Azlinariah Abdullah yang membentangkan mengenai hasil pemerhatiannya di lapangan penempatan Rohingya di Lembah Klang menerusi kertas kerja berjudul “The Rohingya Refugees in Malaysia: Issues and Challenges.”

Semasa membentangkan kertas kerja bertajuk “Rights of Rohingya in their Homeland: A Global Perspective”, Dr Wakkar, Pengarah Urusan Arakan Rohingya Union (ARU) menggesa semua warga Rohingya di Eropah supaya terus menekan dan mendesak barisan kepimpinan di Naypyitaw untuk berusaha menyelesaikan beberapa masalah dipikul sekian lama oleh mereka termasuk soal kerakyatan.

“Kunci penyelesaian ialah kepada kerajaan Myanmar. Jika mereka jujur untuk melihat masalah Rohingya selesai, maka ia bukan lagi satu isu. Tetapi jika sebaliknya, tidak mustahil, masalah kerakyatan, isu minoriti dan hal-hal lain yang dibawa bersama akan berpanjangan serta tiada penghujungnya.”

Ditanya mengenai peranan ASEAN yang kini dipengerusikan Malaysia berhubung isu Rohingya, Dr Wakkar melihat persefahaman dan pendekatan dalam entiti 10 negara itu yang tidak mencampuri hal ehwal dalaman negara anggota lain dilihat memperlahankan usaha penyelesaian secara holistik.

“Bagaimanapun, hubungan baik antara Malaysia dan Myanmar boleh digunakan untuk mempengaruhi seterusnya membawa isu ini (Rohingya) ke pentas perbincangan atau sidang kemuncak. Dengan itu, jika ada resolusi dicapai dan sebagainya, Myanmar perlu mematuhinya,’’ kata Dr Wakkar.

Bagi Dr Ambia Parveen, seorang doktor perubatan di Jerman pula, apa yang penting, kesepakatan berterusan oleh semua komuniti Rohingya untuk membantu Rohingya di Rakhine, barat Myanmar dan negara lain yang masih dihimpit kesengsaraan serta kemiskinan.

Bagi Azlinariah, beliau melihat pendidikan adalah asas penting untuk memastikan kebajikan dan hak asasi Rohingya di Malaysia terpelihara.

“Ramai anak-anak Rohingya lahir di Malaysia. Tetapi malangnya, memandangkan Malaysia tidak mengamalkan prinsip jus soli, kewarganegaraan tidak boleh diberikan kepada mereka. Akibatnya, anak-anak Rohingya ramai yang buta huruf dan mengalami masa depan yang gelap apabila membesar,’’ katanya yang membuat kerja lapangan di penempatan Rohingya di Selayang, Cheras Baru dan Ampang.

Berdasarkan perangkaan terkini UNHCR, 40,070 pelarian Rohingya berdaftar dengan agensi PBB itu dengan 9,761 adalah kanak-kanak.

Untuk rekod, Malaysia bukan anggota Konvensyen Status Pelarian 1951, di mana kerajaan hanya membenarkan pelarian berada di negara ini atas sebab-sebab kemanusiaan sementara menunggu proses untuk ditempatkan di negara ketiga.

Selepas Norway, persidangan ERC akan diadakan Jerman pada Mac 2016.

ERC, ditubuhkan pada 2012, merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada warga belia Rohingya hidup dalam buangan di Eropah.

Antara lain, mereka menjadikan perjuangan menegakkan hak asasi Rohingya sebagai matlamat utama penubuhannya.