KUALA LUMPUR: Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan dibuka semula dan beroperasi seperti biasa mulai esok.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) memaklumkan, keputusan itu dibuat susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang kembali mencatatkan paras di bawah 150.
"Keputusan ini dibuat setelah mendapati bacaan akhir IPU mencatatkan paras di bawah 150 di kedua-dua stesen pemantauan kualiti udara di WP Kuala Lumpur, setakat jam 5:00 petang, 12 Oktober 2026," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) serta arahan Bekerja dari Rumah (BDR) bagi kawasan terlibat sebelum ini ditamatkan.
Terdahulu, sebahagian institusi pendidikan di bawah KPM di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar/Pudu ditutup berikutan bacaan IPU yang berada pada tahap tidak sihat.
JPWPKL memaklumkan, pihaknya bersama PPD dan institusi pendidikan akan terus memantau perkembangan bacaan IPU dari semasa ke semasa.
Pemantauan itu bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil berdasarkan perubahan kualiti udara.
Dalam masa sama, ibu bapa dan penjaga diminta terus peka terhadap perkembangan semasa serta mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan anak-anak.
JPWPKL menegaskan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan sentiasa menjadi keutamaan jabatan berkenaan.