HULU LANGAT: Pasukan Gen SINAR Pagi berjaya menyiapkan pembinaan sebuah rumah baharu dalam tempoh tiga hari menerusi inisiatif Gen SINAR Bina Rumah dengan kerjasama EPIC Homes di Kampung Orang Asli Kuala Pangsun, di sini.
Penyampai Gen SINAR Pagi, Hefny Sahad, Roy Azman dan Kak Sheera turun padang bersama lebih 30 sukarelawan daripada pelbagai latar belakang serta komuniti setempat bagi menjayakan misi tersebut.
Menariknya, ketiga-tiga mereka turut menjalani latihan asas pembinaan terlebih dahulu sebelum terlibat secara langsung dalam proses menyiapkan rumah berkenaan.
Rumah yang dibina itu diperuntukkan kepada seorang bapa tunggal yang membesarkan tiga orang anak berusia enam, 16 dan 18 tahun.
Sebelum ini, beliau terpaksa tinggal bersama keluarga mentuanya dalam sebuah rumah lama yang dihuni tujuh seisi keluarga.
Melalui pendekatan yang diperkenalkan EPIC Homes, pemilik rumah bersama komuniti Orang Asli turut sama menyumbang tenaga sepanjang proses pembinaan, menjadikan projek itu lebih daripada sekadar usaha membina kediaman.
Pengurus Jenama SINAR, Zureen Affendi berkata program berkenaan membuktikan platform radio mampu menjadi penghubung kepada usaha kebajikan dan pembangunan komuniti.
“Di SINAR, kami percaya sesebuah rumah bukan hanya terdiri daripada dinding dan bumbung. Sebuah rumah adalah tempat lahirnya harapan, tempat anak-anak membesar dengan lebih selesa dan tempat sebuah keluarga membina masa depan yang lebih baik.
“Apa yang paling menginspirasikan kami adalah semangat gotong-royong yang ditunjukkan oleh semua pihak. Dalam masa tiga hari, kami bukan sahaja berjaya membina sebuah rumah, tetapi turut membina hubungan, kepercayaan dan harapan baharu,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif itu juga selaras dengan usaha berterusan SINAR untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kerjasama dalam memperkasa komuniti serta merapatkan jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar.
Sejak ditubuhkan pada 2010, EPIC Homes telah menggerakkan ribuan sukarelawan dalam menyediakan kediaman yang lebih selamat kepada komuniti Orang Asli di seluruh negara.